Abdullah Sani umum bertanding Naib Presiden PKR

Abdullah Sani
Abdullah Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti bulan depan.

Abdullah Sani turut memaklumkan, beliau tidak akan mempertahankan kedudukan yang disandangnya dalam parti ketika ini iaitu sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

“Saya telah membuat keputusan untuk tidak lagi mempertahankan kedudukan saya sebagai Ahli MPP.

“Sebaliknya turut sama menyuburkan proses demokrasi dan persaingan kekeluargaan di dalam parti, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada Pemilihan Keadilan 2022,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, pada Isnin.

Antara pemimpin PKR yang telah mengumumkan untuk merebut lima jawatan Naib Presiden parti itu ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowin dan Ketua PKR Cawangan Kota Raja, Dr Gunaraj George.

Dalam pada itu, Abdullah Sani berkata, perjuangan untuk menegakkan reformasi masih belum berjaya dilakukan walaupun partinya pernah berjaya di pilihan raya dan menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum dikhianati sebilangan ahlinya.

“Peristiwa "Langkah Sheraton" mengajar kita untuk lebih mengenali siapa kawan dan siapa lawan.

“Saudara, marilah mengatur kekuatan untuk bekerja dalam satu pasukan bagi mewujudkan satu kesatuan Keadilan yang utuh dan mampu menggoyah keegoan dan kesombongan kerajaan hari ini. Ingin saya berpesan kepada semua. Walau kita tak senada, kita harus selagu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan PKR akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini dengan tarikh pencalonan yang ditetapkan ialah pada 9 April ini.