'Bincang dengan pemimpin setempat sebelum bersuara' - Akar umbi DAP tegur Poay Tiong

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong disaran berbincang dahulu dengan ahli dan pimpinan DAP di peringkat setempat sebelum mengeluarkan kenyataan terbuka.
Pemimpin akar umbi DAP dalam satu kenyataan bersama berkata, arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya premis perniagaan menghentikan operasi setiap Jumaat dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bagi memberi laluan kepada solat Jumaat bukan dasar baharu.
Pihaknya menambah, ia berpaksikan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu kali ke-37 pada 2014 dan sudah berkuat kuasa lebih sedekad.
"Ia tidak wajar diangkat menjadi naratif bahawa kebebasan dan keharmonian masyarakat majmuk di seluruh negara sedang terancam.
"Kuala Terengganu bukan Melaka, Johor atau Pulau Pinang.
"Setiap negeri ada demografi dan sensitiviti tersendiri. Sebagai ahli Parlimen, Poay Tiong tentu memahami hakikat ini," katanya pada Jumaat.
Terdahulu, Poay Tiong menerusi hantaran di Facebook membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan arahan penutupan sementara operasi premis perniagaan selama dua jam setiap Jumaat yang dakwanya boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.
Ketua DAP Melaka itu menganggap arahan berkenaan mencerminkan pengaruh dasar keagamaan konservatif parti Islam terhadap pentadbiran awam.
Bagaimanapun, Poay Tiong memaklumkan, pihaknya menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat, cuma dasar lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengambil kira kepentingan semua pihak.
Mengulas lanjut, akar umbi DAP berpandangan bahawa politik 'fear mongering' menakut-nakutkan rakyat adalah budaya lama.
Jelasnya lagi, ia hanya merugikan DAP dan Pakatan Harapan (PH) secara amnya.
"Kita tidak mahu kenyataan pemimpin sendiri menjadi peluru dan bola tanggung kepada lawan untuk membina naratif negatif terhadap parti.
"Mengkritik dasar adalah hak setiap pemimpin. Namun, kritikan mesti bersandarkan fakta, kebijaksanaan dan kefahaman konteks setempat.
"Jangan sampai menegakkan benang yang basah lantas menghakis keyakinan rakyat terhadap perjuangan kita sendiri," ujarnya.
Akar umbi DAP menambah, MBKT turut menjelaskan bahawa kedai makan yang diuruskan pekerja wanita boleh beroperasi pada waktu tersebut dengan kelulusan khas.
"Solat Jumaat ialah tuntutan ibadah yang penting bagi umat Islam.
"Pengurusan perniagaan pada waktu itu wajar dinilai berdasarkan dasar dan realiti setempat," jelasnya lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 13 pemimpin akar umbi DAP antaranya Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq dan Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
