Anwar sedia berdebat dengan Najib

Anwar Ibrahim & Najib Razak
Anwar Ibrahim & Najib Razak
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk berdepan dan berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia demi negara dan rakyat malah beliau bersedia pada bila-bila masa boleh berdebat dengan Najib.

“Beliau (Najib) kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela.

“Memetik pantun pendekar Melayu: Tuan Puteri pergi ke Lukut, Bawa pulang kacang panjang, Sedikit pun hamba tak takut, Kalau berani turun gelanggang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia untuk menerima cabaran debat daripada Rafizi, namun Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlulah memanggil Anwar untuk berdebat sama.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika Anwar tidak mahu menyertai debat itu, Rafizi boleh berdebat dengan Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil.

Tegas Anwar, sikapnya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun yang lalu apabila pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada Najib.

“Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut,” katanya.

Artikel Berkaitan: