Geng Seelaan Vanette curi van pasar malam

Van jenis Nissan Vanette yang dirampas.
Van jenis Nissan Vanette yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan geng 'Seelaan Vanette' yang aktif mencuri kenderaan sejak enam bulan lalu akhirnya 'terjerat'.

Bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah memberkas lima lelaki di sekitar Lembah Klang, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan serta dua masing-masing melibatkan warga Bangladesh dan India berusia dalam lingkungan 36 hingga 40 tahun.

Menurutnya, penahanan ahli geng ini membawa kepada penemuan sembilan buah van jenis Nissan Vanette dan sebuah lori jenis Nissan yang dilaporkan hilang.

No Image Caption

"Kumpulan ini menjadikan van jenis Nissan Vanette yang digunakan untuk berniaga pasar malam dan dipenuhi barang meniaga sebagai sasaran.

"Barang-barang berniaga itu akan dijual, manakala van tersebut akan dilupuskan di kedai besi buruk," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.

Tambahnya, semakan mendapati kesemua kenderaan yang dicuri dilapor hilang di Selayang, Gombak, Sri Damansara, Jinjang, Setapak dan Genting.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua kenderaan ini dianggarkan bernilai RM150,000.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes dadah dan curi. Kesemua suspek ini sedang direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Mazlan berkata, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung pelakuan jenayah untuk salurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460670 atau mana-mana balai berdekatan.