Warga asing cuba langgar anggota polis diberkas

Tindakan seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri setelah ditahan anggota polis gagal apabila suspek berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang di sini pada Sabtu. - Gambar hiasan
Tindakan seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri setelah ditahan anggota polis gagal apabila suspek berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang di sini pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri setelah ditahan anggota polis gagal apabila suspek berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila suspek berumur lingkungan 40-an itu didapati memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota polis dari Unit Kereta Peronda IPD Petaling Jaya mengesan kenderaan dipandu suspek berdekatan Jalan Sungai Buloh menghala ke Subang di kawasan Kota Damansara.

"Polis kemudiannya menahan suspek dan ketika melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar anggota polis yang bertugas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, anggota polis bertugas kemudiannya melepaskan tembakan ke arah tayar suspek.

"Suspek kemudiannya dikejar oleh anggota unit kereta peronda tersebut, situasi berkenaan turut dihebahkan Pusat Kawalan IPD Petaling Jaya.

"Suspek berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Petaling Jaya dan Unit Kereta Peronda IPD Sungai Buloh," katanya.

Katanya, suspek yang ditahan berumur lingkungan 40-an dan merupakan warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback untuk siasatan lanjut.

"Suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.