DSI Thailand pertimbang siasatan kematian Tangmo sebagai kes khas

Tangmo Nida Patcharaveerapong
Tangmo Nida Patcharaveerapong
A
A
A

BANGKOK - Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand sedang mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan kes pelakon terkenal Thailand, Tangmo Nida Patcharaveerapong yang mati selepas terjatuh dalam sungai bulan lalu sebagai kes khas.

Memetik laporan Bangkok Post, perkara itu bagaimanapun akan diputuskan selewat-lewatnya 15 April ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua DSI, Dr Triyarith Temahivong sebelum beliau menghadiri mesyuarat mengenai perkembangan siasatan kematian artis itu pada Jumaat.

Mesyuarat itu turut dihadiri bekas Senator Rosana Tositrakul yang menggesa pasukan penyiasat itu untuk memasukkan kes terbabit sebagai kes khas.

Dalam pada itu Dr Triyarith memberitahu, Timbalan Ketua DSI, Phayao Thongsen akan mengetuai pasukan penyiasatan itu yang akan turut dibantu oleh pakar dari Institut Sains Forensik berhubung laporan bedah siasat.

"Pasukan ini dipertanggungjawab untuk menyerahkan laporan terperinci kepada jawatankuasa DSI untuk pertimbangan lanjut," katanya di sini pada Jumaat.

Jawatankuasa itu dijangka melengkapkan siasatan hujung bulan ini sebelum menyerahkan laporan lengkap kepada Lembaga Kes Khas.

DSI akan membuat keputusan untuk memasukkan kematian artis itu sebagai kes khas berdasarkan lima kriteria iaitu kepentingan awam, kerumitan kes, kesan kepada keselamatan negara, penglibatan jenayah terancang dan penglibatan individu berpengaruh atau pegawai berpangkat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, laporan bedah siasat kali kedua menunjukkan terdapat 22 kesan luka pada kedua-dua kaki mendiang.

Hasil dapatan itu disahkan Pusat Ilmu Forensik Hospital Universiti Thammasat (CIFS) di Bangkok, sekali gus menjawab 11 keraguan dibangkitkan ibu Tangmo, Panida Siriyuthayothin.

Bagaimanapun, dapatan itu tidak menemukan sebarang kesan patah pada gigi patah, tulang retak atau luka pada muka serta kepala mendiang.

Setiausaha menteri kehakiman, Thanakrit Chit-areerat, berkata bahawa CIFS telah memberi maklum balas terhadap hampir semua isu dibangkitkan Panida. - Awani