Mohd Nasri ada 14 hari kemukakan rayuan

Presiden ASTAF, Abdul Halim (kiri) bersama Boonchai Lorhpipat (Timbalan), menantikan rayuan daripada Mohd Nasri.
Presiden ASTAF, Abdul Halim (kiri) bersama Boonchai Lorhpipat (Timbalan), menantikan rayuan daripada Mohd Nasri.
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), Mohd Nasri Haron mempunyai 14 hari bagi mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), berhubung penggantungannya daripada memegang sebarang jawatan termasuk Presiden PERSES setelah menerima notis tindakan tatatertib, 1 April lalu.

Menurut Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, Mohd Nasri juga perlu mengemukakan rayuan berkenaan dengan memberikan jawapan secara bertulis kepada badan induk sepak takraw Asia itu dalam tempoh berkenaan sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.

“Di bawah prosedur tatatertib Mohd Nasri diberikan peluang mengemukakan rayuan menerusi jawapan secara bertulis kepada ASTAF dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan notis tindakan tatatertib berkenaan.

“Setelah mendapat jawapan bertulis berkenaan, Jawatankuasa Tatatertib ASTAF seterusnya akan berbincang dan mengadili perkara berkenaan dengan sewajarnya sebelum melaksanakan tindakan yang sepadan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Untuk rekod, Mohd Nasri berdepan tindakan penggantungan berkenaan kerana didapati berkomplot dengan bekas Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail dalam memburuk-burukkan reputasi Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), menjelang Kongres pemilihan Majlis ASTAF 2021-2025 pada 1 Mac 2021 lalu.

Selain itu, Mohd Nasri juga didapati melakukan kesalahan sama atas jawatannya sebagai Naib Presiden ASTAF (2016 hingga 1 Mac 2021) hingga satu notis diberikan kepadanya bertarikh 26 Mac 2022 berasaskan pertuduhan bahawa beliau menyalahi undang-undang kecil ASTAF berhubung tatatertib dan/atau penyalahan Perlembagaan ASTAF dan/atau Perbuatan Salah Laku.

Sebelum itu, ASTAF telah pun mengenakan hukuman penggantungan selama 17 tahun kepada Ahmad pada 5 Mei 2021 atas empat pertuduhan yang hampir sama dengan Nasri atas jawatannya sebagai Timbalan Presiden ASTAF dan Presiden PSM kerana menyebarkan emel dan surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi memohon campur tangan mereka berhubung kongres berkenaan.

Susulan penggantungan Ahmad, PSM turut disingkirkan daripada menjadi ahli gabungan ASTAF pada 20 Mei 2021 dan seterusnya penyingkiran oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada 23 Mac 2022 dan menyaksikan penubuhan entiti baharu; Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Halim menegaskan penggantungan Mohd Nasri akan berkuat kuasa serta merta sehinggalah kes berkenaan selesai kelak.

“Kita di ASTAF ingin memaklumkan bahawa Presiden PERSES, Mohd Nasri Haron kini digantung daripada terlibat dengan mana-mana aktiviti sepak takraw.

“Penggantungan ini disebabkan Mohd Nasri didapati bersekongkol dengan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dengan mendakwa Kongres ASTAF yang berlangsung tahun lalu (2021), tidak sah kerana didapati menyalahi perlembagaan ASTAF.

“Oleh itu, penggantungan ini akan berjalan sehinggalah pihak Jawatankuasa Disiplin ASTAF membuat keputusan berhubung perkara berkenaan kelak,” katanya.