Muzakarah tidak pinda, batal keputusan Tarekat Naqsyabandiah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-117 tahun 2020 tidak membuat sebarang keputusan untuk meminda atau membatalkan keputusan sebelum ini tentang Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sebaliknya ia hanyalah membenarkan pengikut tarekat berkenaan mengamalkannya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta urus setempat berdasarkan maklumat yang dibentangkan pada muzakarah ketika itu sebagaimana minit yang disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-118.

“Sebarang pembatalan atau pindaan kepada sesuatu pandangan hukum secara prinsipnya mestilah melalui proses kajian ilmiah yang lebih teliti dan pembentangan semula kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI dengan mengambil kira pandangan ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 pada 3 April 2000 sebelum ini telah memutuskan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Muzakarah yang dijalankan kali ke-86 pada 2009 selepas itu turut mengekalkan keputusan tersebut di samping menghendaki pengamal ajaran ini segera bertaubat.

“Muzakarah MKI kali ke-116 pada 2019 sekali lagi membincangkan kertas kajian semula mengenai kedudukan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dan bersetuju mengekalkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 tahun 2000,” katanya.

Artikel Berkaitan: