Fasa endemik 'legakan' penggiat industri pelancongan

Pulau Tioman yang kaya dengan keindahan alam semula jadi. - Foto 123rf
Pulau Tioman yang kaya dengan keindahan alam semula jadi. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fasa peralihan ke endemik yang bermula pada Jumaat nyata memberi kelegaan dan kegembiraan kepada pelbagai pihak khususnya penggiat industri pelancongan selepas dua tahun terpaksa 'menyepi’ berikutan pandemik Covid-19.

Perkara itu membuatkan penggiat industri pelancongan khususnya perhotelan mengambil peluang itu sebaiknya dalam melakukan persiapan awal dan menyeluruh bagi menyambut kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein berkata, industri perhotelan sudah lama bersedia bagi pembukaan sempadan negara dan menerima kemasukan pelancong terutama dari luar negara dengan mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, ini kerana sektor pelancongan tidak boleh mengharapkan pelancong domestik semata-mata memandangkan mereka tidak boleh selalu melancong justeru pembukaan sempadan negara akan membantu merancakkan semula ekonomi negara dalam sektor itu.

"Namun saya menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negara dahulu kerana negara kita banyak tempat menarik. Kalau kita terokai, banyak lagi tempat menarik dalam Malaysia. Kita juga banyak sediakan inisiatif dan pakej menarik kepada rakyat kita, jadi gunalah peluang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Di TERENGGANU, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Ariffin Deraman berkata, industri pelancongan negeri itu akan lebih rancak terutama di kawasan pulau memandangkan 80 peratus pelancong asing akan bercuti ke pulau peranginan.

"Kerajaan negeri juga telah meluluskan penerbangan terus dari Singapura ke Pulau Redang yang akan bermula 6 April ini. Jadi kita harapkan inisiatif ini akan membawa limpahan ekonomi kepada pemain industri Pulau Redang termasuk penduduk kampung di situ.

"Penerbangan terus Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu juga telah diadakan dua kali seminggu iaitu pada Ahad dan Rabu berbanding hanya Ahad sebelum ini. Kita harapkan pelancong asing yang ke Sabah akan meneruskan percutian mereka ke Terengganu pula,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Presiden Persatuan Premis Penginapan Pulau Perhentian Abdul Aziz Che Abdullah pula berkata, pulau peranginan itu dijangka dibanjiri pelancong luar sekitar bulan Julai atau Ogos.

Di PAHANG, pengusaha chalet Tioman Santai Resort Ab Razib Ali Awang berkata, tempahan di lokasi penginapannya sudah penuh sehingga Aidilfitri yang diterima daripada pelancong tempatan dan antarabangsa seperti Australia serta Jerman.

Beliau berkata, kedatangan pelancong asing mahupun tempatan dilihat mampu ‘menghidupkan’ semula industri pelancongan Pulau Tioman yang kaya dengan keindahan alam semula jadi namun terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim berkata, peralihan fasa itu merancakkan semula industri pelancongan terutama membabitkan rakyat Singapura yang merekodkan antara kedatangan pelancong antarabangsa tertinggi ke negeri itu iaitu hampir 1.2 juta orang sebelum pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kebanyakan pelancong dari negara jiran itu menggemari aktiviti alam semula jadi seperti berkunjung ke Taman Negara, Pulau Tioman dan Cameron Highlands.

Penggiat industri perhotelan di KEDAH juga sudah bersedia menerima kedatangan pelancong walaupun menjangkakan jumlah pengunjung ke negeri itu tidak akan meningkat secara mendadak kerana pembukaan sempadan negara baru bermula.

Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Kedah/Perlis Razmi Rahmat berkata, dengan berbaki dua hari lagi sebelum memasuki bulan Ramadan, kemasukan pelancong domestik dijangka perlahan dan hanya mengharapkan pelancong antarabangsa yang ramai datang ke Kedah.

Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar pula berharap, pemain industri dapat bersedia dan menawarkan pakej pelancongan yang mampu menarik pelancong khususnya dalam bulan Ramadan.

"Aktiviti pada bulan Ramadan juga menjadi produk pelancongan yang kita promosi kepada pelancong luar negara setiap tahun. Jadi kita berharap pada bulan Ramadan nanti, pemain industri tempatan dapat mempromosi pakej-pakej menarik," katanya.

Di PERLIS, pengusaha Telaga Kabu Homestay Mohd Ramzi Mat Tajri berkata, dengan adanya pelancong luar terutama dari Thailand, hotel dan inap desa di negeri itu boleh kembali beroperasi walaupun tidak serancak sebelum ini.

"Pengusaha inap desa dan hotel sudah lama terkesan, jadi diharapkan dengan pembukaan semula pintu sempadan ini dapat menaikkan kembali sektor pelancongan di Perlis,” katanya.

Di PULAU PINANG, Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) menyasarkan peningkatan pelawat sebanyak 15 peratus ke negeri itu selepas pembukaan semula sempadan negara pada Jumaat.

Pengerusi ATAP Ch'ng Huck Theng berkata, walaupun tempahan tiket ke tempat tarikan pelancongan tidak begitu banyak buat masa ini namun berdasarkan pengalaman ketika pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin udara dengan Singapura, pelancong ke negeri itu lebih gemar membeli tiket secara ‘walk-in.’

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang Tony Goh pula berkata, pihaknya tidak menjangkakan kenaikan ketara dari segi kadar penghuni hotel di negeri itu pada bulan ini kerana kebanyakan pelancong asing memerlukan masa untuk merancang lawatan mereka. - Bernama