Jatuh bangun menuju puncak

A
A
A

KEHIDUPAN kita melalui pelbagai episod pengalaman dan perasaan. Manis, pahit, suka dan duka adalah rencah kehidupan yang ada kalanya menyentuh jiwa dan sukar dilupakan. Begitulah halnya apa yang dirasai oleh 391,641 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang telah menerima keputusan masing-masing pada 14 Mac lalu.

Yang berjaya dan cemerlang sudah tentu gembira dan tersenyum manis, mungkin sambil berswafoto dengan plakad tertera 9A. Gelak tawa dan air mata kegembiraan mengiringi kejayaan cemerlang pelajar-pelajar. Perasaan gembira ini tidak cukup disampaikan secara lisan malahan ditambah pula dengan tempelan slip keputusan SPM yang cemerlang di Facebook dan Instagram.

Siapa yang tidak gembira dengan kejayaan cemerlang ini selepas berhempas pulas selama 2 tahun. Malangnya, ketika sambutan dan keraian berlangsung, yang belum cemerlang pula tersenyum pahit dan bermuram durja. Begitulah adat dunia, sewaktu suatu pihak bergembira, pasti ada yang berduka lara...

Bukanlah suatu kesalahan meraikan kejayaan SPM, tetapi ia bukan penamat kepada perjuangan. Banyak lagi cabaran bakal menanti selepas SPM. Realiti juga menunjukkan SPM bukan penentu segala-galanya. Walaupun pelajar cemerlang SPM berjaya menyambung pengajian di IPT idaman, ada dalam kalangan mereka yang gagal mengekalkan kecemerlangan tersebut dek tersilap langkah.

Antara punca kegagalan adalah kesalahan memilih program pengajian, terikut-ikut dengan pilihan kawan-kawan serta terpaksa memilih program pengajian berdasarkan kehendak ibu bapa. Selain itu, pengaruh persekitaran pembelajaran di IPT juga menjadi punca kegagalan. Pengaruh gajet juga tidak boleh dikesampingkan yang mana ia turut mengganggu pelajar meneruskan kecemerlangan.

Kesibukan pelajar IPT melayan pelbagai aplikasi media sosial kadang kala mengatasi kesibukan mereka dalam pengajian di IPT. Jika hal ini berlaku, gajet yang asalnya hadiah atas kecemerlangan SPM daripada ibu dan bapa bertukar menjadi perangkap yang membawa kepada kegagalan.

Terdapat juga pelajar yang gagal mencapai keputusan peperiksaan seperti diharapkan, tetapi cemerlang di IPT dan seterusnya dalam kerjaya masing-masing. Ia seperti apa yang dikatakan orang, kejayaan bermula selepas seseorang menemui kegagalan. Saat rakan-rakan sepersekolahan telah sibuk dengan kuliah di pusat asasi atau matrikulasi, mereka mungkin hanya mampu mengikuti program kemahiran atau sijil sahaja.

Pendek kata, mereka terpaksa bertatih melalui jalan panjang dan berliku sebelum menuju ke puncak. Peluang melanjutkan pelajaran digunakan sepenuhnya agar pengalaman pahit masa lalu tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan apabila seseorang menemui kegagalan, pelbagai perasaan negatif timbul dan individu itu akan stres. Stres sebegini seharusnya dikekang dan diselesaikan secepat mungkin. Mengambil jalan singkat seperti berputus asa, melakukan aktiviti tidak sihat dan membunuh diri adalah langkah yang salah sama sekali dan ia akan membawa diri kita terjerumus ke lembah kegagalan yang makin dalam.

Sebenarnya, keputusan peperiksaan yang diperoleh mungkin tidaklah seteruk mana tetapi ia tersasar daripada harapan tinggi yang telah ditetapkan oleh para pelajar. Nasihat penulis adalah, belajar mensyukuri apa yang telah dicapai kerana ia mampu meminimumkan stres, rasa sedih dan kecewa kerana gagal mencapai keputusan SPM yang diharapkan.

Di samping berusaha memohon untuk mengikuti program pengajian yang bersesuaian dengan keputusan anda, jangan lupa berdoa dan bertawakal agar anda lebih bersedia mendepani cabaran dan menghadapi kenyataan. Ingatlah semua kejadian telah ditentukan oleh Tuhan, tetapi usaha, doa dan tawakal boleh mengubah perjalanan takdir tersebut. Jika kita telah berusaha namun kejayaan belum kunjung tiba, terimalah ia dengan hati terbuka. Penulis pasti ada rahmat di sebalik semua itu tetapi belum kita sedari.

Untuk keluar daripada kepompong kegagalan, ia menuntut perubahan diri pelajar sendiri. Jika kita berpegang kepada bidalan genggam bara api biar sampai jadi arang, kesemua impian mungkin boleh dicapai dengan syarat ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif. Hampir tiada satu perkara dalam hidup ini yang mustahil dicapai, namun ia menuntut usaha berterusan tanpa rasa putus asa.

Fikiran positif perlu dijadikan kunci utama bagi melangkah ke hadapan selepas SPM. Tanpa fikiran positif, individu akan sentiasa berdepan dengan masalah yang menyekat pembangunan diri. Fikiran positif bakal melahirkan aura diri yang lebih berkeyakinan dan mengupayakan kita melihat peluang dan ruang penambahbaikan.

Walaupun tahun-tahun mendatang bakal memperlihatkan pelbagai cabaran persekitaran buat remaja lepasan SPM, anda tidak harus membiarkan persekitaran itu mengawal kehidupan. Jadilah seseorang yang berupaya mengawal persekitaran dan menentukan hala tuju kehidupan masing-masing.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia