Allianz4Good sokong pemulihan komuniti terjejas Covid-19

Peserta program KAMI Sembang yang diadakan di Rumah Pangsa Taman Keramat di Kuala Lumpur.
Peserta program KAMI Sembang yang diadakan di Rumah Pangsa Taman Keramat di Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) melalui tanggungjawab sosial korporatnya, Allianz4Good akan meneruskan usahanya pada 2022 untuk menyokong pemulihan komuniti yang terjejas akibat kesan Covid-19.

Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, Allianz4Good bekerjasama dengan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dan Thrive Well untuk menyokong program kesihatan mental mereka bermula awal tahun ini.

“Ini selaras dengan objektif syarikat untuk menggalakkan keterangkuman sosial serta menangani keperluan masyarakat yang mendesak untuk membantu orang ramai, terutamanya masyarakat kurang bernasib baik serta berpendapatan rendah.

"Ramai yang mengalami kesedihan dan kehilangan semasa pandemik Covid-19 dan impaknya sangat besar sehingga boleh membawa kepada keadaan kesihatan mental yang semakin merosot.

“Kami mahu melakukan lebih daripada sekadar mengakui bahawa masalah ini wujud dan meningkatkan kesedaran yang lebih baik. Khususnya, bagaimana kita boleh membantu mereka yang memerlukan, terutamanya dalam menyediakan akses mudah kepada program kesihatan mental yang tersedia dan berpatutan untuk golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Siew Gek berkata, sekiranya tidak ditangani, ia boleh membawa kepada kemerosotan kesihatan fizikal.

“Kerjasama dengan MERCY Malaysia bermula pada Januari 2022 dan akan berterusan sehingga Disember 2022. Melalui kerjasama ini, Allianz Malaysia akan membiayai Talian Bantuan Kesihatan Mental dan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) selama 12 bulan, membolehkan perkhidmatan talian bantuan terus diberikan secara percuma kepada orang ramai.

Siew Gek
Siew Gek

“Talian bantuan menyediakan perkhidmatan campur tangan dalam krisis, yang disediakan melalui telefon atau platform dalam talian lain yang mematuhi Akta Mudah Alih dan Akauntabiliti Insurans Kesihatan 1996,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Siew Gek, Allianz Malaysia menganjurkan dua program kesihatan mental berasaskan komuniti dengan perusahaan sosial Thrive Well, termasuk KAMI Sembang dan KAMI Juara.

“KAMI Sembang adalah program yang memfokuskan kepada pengukuhan daya tahan emosi, membina kemahiran advokasi diri, dan membangunkan komunikasi kekeluargaan yang sihat untuk 24 orang ibu daripada komuniti Rumah Pangsa Taman Keramat di Kuala Lumpur.

“KAMI Juara pula ialah program yang dirangka untuk memperkasakan efikasi kendiri dan daya tahan untuk 20 belia berlatar belakang lemah yang merupakan pelajar di Buku Jalanan Chow Kit, Kuala Lumpur. Sesi pertama KAMI Juara diadakan pada awal Mac dan akan berlangsung sehingga penghujung Jun,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Program MERCY Malaysia, Mohammad Said Alhudzari Ibrahim berkata, pada tahun ini bermula dengan krisis berturut-turut iaitu pandemik Covid-19 yang berpanjangan, banjir besar, tanah runtuh yang tidak dijangka dan ketidakstabilan geopolitik antarabangsa telah meningkatkan risiko faktor yang biasanya dikaitkan dengan kebimbangan dan kemurungan.

“Talian Bantuan MHPSS MERCY Malaysia terus menjadi platform penting dalam menyediakan campur tangan awal dan sokongan psikososial yang amat diperlukan terhadap kelaziman kesihatan mental yang lemah dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan Allianz Malaysia terhadap MERCY Malaysia,” katanya.