Cubaan seleweng 94,398 liter diesel bersubsidi gagal

Sebuah premis yang dijadikan stor simpanan diesel di Jalan Kempas Lama Skudai diserbu PPM Wilayah Dua, pada Khamis.
Sebuah premis yang dijadikan stor simpanan diesel di Jalan Kempas Lama Skudai diserbu PPM Wilayah Dua, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi susulan serbuan ke atas sebuah premis yang dijadikan stor di Jalan Kempas Lama Skudai di sini, pada Khamis.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 4.30 berjaya menemukan 94,398 liter diesel bersubsidi.

Katanya, tujuh lelaki tempatan berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Marin berjaya mengesan sebuah premis yang dijadikan stor tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi.

"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan tiga lori tangki dan tangki yang berisi keseluruhan 94,398 liter minyak diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM1.02 juta.

"Turut disita, dua lori tiga tan yang telah diubah suai bagi mengangkut minyak, satu treler bersama beberapa peralatan pam minyak serta wang tunai RM 61,664," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut Muhd Zailani, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Orang ramai turut diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua bagi membenteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim.

Artikel Berkaitan: