Protokol Am pengembara berkuat kuasa 1 April ini: Ka Siong

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Vaccinated Travel Lane - VTL) melalui pengangkutan udara antara Malaysia dan Kemboja, Singapura serta Thailand sebelum ini digantikan dengan Protokol Am pengembara berkuat kuasa 1 April ini (esok).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengembara dari negara-negara berkenaan yang tiba di Malaysia bermula tarikh tersebut hendaklah mematuhi protokol kesihatan di bawah Protokol Am pengembara umum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama seperti pengembara dari negara-negara lain.

Menurutnya, bagaimanapun rundingan berhubung inisiatif VTL melalui pengangkutan udara dengan negara-negara yang masih belum membuka sempadan akan terus dilaksanakan oleh Kementerian Luar Negeri secara bilateral.

“Berdasarkan Protokol Am bagi pengembara umum, sebelum berlepas, pengembara dikehendaki, mendaftar dalam aplikasi MySejahtera, melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon “Traveller” dalam MySejahtera dan memuat naik keputusan ujian RT-PCR yang dilakukan dua hari sebelum berlepas.

“Selain itu, melakukan verifikasi sijil digital vaksinasi Covid-19 melalui portal MySafeTravel di https://mysafetravel.gov.my/ (bagi sijil digital vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan di luar negara) dan mempunyai perlindungan insurans Covid-19 dan pengembaraan bagi bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, selepas ketibaan, pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-Ag profesional sama ada di fasiliti kesihatan swasta di lapangan terbang antarabangsa atau di luar dalam tempoh 24 jam.

“Keputusan ujian RTK-Ag profesional akan diperoleh dalam aplikasi MySejahtera serta pengurusan kes positif dan negatif Covid-19 adalah seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mengambil kira hasil perbincangan di antara Malaysia dan Singapura semasa lawatan kerja ke Kementerian Kesihatan Malaysia oleh Menteri Kesihatan Republik Singapura bersama delegasinya pada 23 Mac 2022, keputusan pembukaan sempadan Malaysia dan Republik Singapura turut melibatkan pembukaan sempadan udara.

Artikel Berkaitan:

“Protokol sebelum berlepas bagi pengembara warganegara Malaysia dan Republik Singapura yang lengkap vaksinasi dan akan melalui pintu masuk udara kedua-dua negara adalah menjalani ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag profesional yang dilakukan dua hari sebelum berlepas.

“Selain itu, mendaftar dalam aplikasi MySejahtera, melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon ‘Traveller’ dalam MySejahtera dan memuat naik keputusan ujian RT-PCR atau RTK-Ag profesional dan melakukan verifikasi sijil digital vaksinasi melalui portal MySafeTravel di https://mysafetravel.gov.my/ (bagi sijil digital vaksinasi yang dikeluarkan di luar negara).

“Selepas ketibaan pengembara daripada Singapura tidak perlu menjalani ujian Covid-19,” jelasnya.

Kata Ka Siong, dalam hubungan ini, pihak syarikat-syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang antarabangsa negara akan membantu memastikan semua pengembara dari luar negara mendapat maklumat yang tepat dan memenuhi protokol kesihatan tersebut sebelum berlepas dan semasa ketibaan di Malaysia.

“Maklumat lanjut mengenai protokol kesihatan tersebut boleh didapati di laman web MySafeTravel di https://www.mysafetravel.gov.my/.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Kemboja, Republik Singapura dan Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan dalam menjayakan inisiatif VTL.

“Serta berharap pembukaan semula sempadan Malaysia mulai 1 April 2022 akan meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dengan negara-negara terbabit di samping turut memanfaatkan dan memberi impak positif kepada ekonomi ketiga-tiga negara berkenaan,” katanya.