Pemandu MPV terbabas masuk landasan KTM

Sebuah MPV dipandu remaja berusia 19 tahun hilang kawalan dan terbabas ke dalam landasan KTM di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. - Foto JSPT Kuala Lumpur
Sebuah MPV dipandu remaja berusia 19 tahun hilang kawalan dan terbabas ke dalam landasan KTM di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. - Foto JSPT Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas ke landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) selepas pemandunya hilang kawalan dan terbabas dalam kejadian berhampiran Bulatan Segambut di Jalan Kuching menghala pusat bandar di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, pemandu MPV jenis Toyota Innova berkenaan dipercayai cuba untuk mengelak sebuah kenderaan yang membrek secara mengejut.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu seorang lelaki berumur 19 tahun memandu Toyota Innova bersama dengan empat penumpang berusia 20 hingga 14 tahun dari pasar borong Selayang menghala balik ke rumah di Cheras, Kuala Lumpur.

"Semasa melalui Jalan Kuching, tiba-tiba sebuah kenderaan yang berada di hadapan telah membrek secara mengejut. Akibat jarak yang dekat pemandu MPV cuba mengelak ke kiri dan telah berpusing serta terbabas lalu memasuki laluan rel KTM," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua mangsa mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa," katanya.

Artikel Berkaitan: