Lelaki maut terbabas, lari dari polis

Keadaan kenderaan mangsa yang terbabas ke dalam parit selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis. (Gambar kecil: Mohd Ali Tamby )
Keadaan kenderaan mangsa yang terbabas ke dalam parit selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis. (Gambar kecil: Mohd Ali Tamby )
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Lahat, Simpang Pulai ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis, di sini, pada jam 2.45 pagi tadi.

Lelaki berusia 47 tahun yang beralamat di Johor Bahru dan memandu kereta jenis Toyota Hilux itu mengalami kecederaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian berlaku semasa sepasukan anggota polis sedang melakukan rondaan di Jalan Pasir Puteh dan melihat kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan berbahaya dan mencurigakan.

"Anggota peronda cuba menahan kenderaan dipandu mangsa untuk pemeriksaan namun lelaki terbabit bertindak melarikan diri dengan memecut laju.

"Apabila sampai di tempat kejadian iaitu lebih kurang enam kilometer dari Pekan Pasir Puteh, kenderaan tersebut hilang kawalan semasa melalui selekoh dan terbabas masuk ke dalam parit," katanya dalam satu laporan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ali pemeriksaan kemalangan itu berlaku di jalan lurus, satu lorong dan dua hala dengan terdapat satu selekoh serta permukaan jalan yang kering dan berturap rata.

"Siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat manakala kenderaan terlibat dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk dihantar ke Puspakom bagi pemeriksaan lanjut," katanya.