Piala FA: Melaka United tak pandang mudah cabaran PIB FC

Ifedayo Olusegun antara tonggak import yang dijangka memperkuatkan cabaran Melaka United berdepan pasukan Liga M3, PIB FC. - Foto Melaka United Football Club
Ifedayo Olusegun antara tonggak import yang dijangka memperkuatkan cabaran Melaka United berdepan pasukan Liga M3, PIB FC. - Foto Melaka United Football Club
A
A
A

KELAB Liga Super, Melaka United tidak akan memandang rendah kemampuan pasukan Liga M3, PIB FC apabila turun berentap dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat pada Khamis.

Pengendalinya, Risto Vidakovic, sedar pasukan dari liga amatur sering kali bermotivasi tinggi untuk mencipta kejutan bagi menunjukkan keupayaan mereka bersaing dengan kelab-kelab elit.

Justeru, beliau berharap apa terjadi kepada Sri Pahang FC pada minggu lalu yang diheret ke penentuan sepakan penalti semasa bertemu Manjung City FC sebelum melayakkan diri, tidak akan berlaku kepada Melaka United.

“Saya mengingatkan para pemain agar menghormati lawan sepertimana pasukan lain semasa di Liga Super dan berikan yang terbaik di atas padang.

“Jangan sama sekali merendahkan kemampuan mereka kerana kebiasaannya, lawan dari liga lebih bawah ini akan ada satu perasaan motivasi yang luar biasa.

“Jadi, jika tidak berhati-hati, mereka boleh mengejutkan kami dan saya tidak mahu perkara itu terjadi kerana saya mahu membawa Melaka melangkah jauh di pertandingan Piala FA,” katanya.

Aksi Melaka United dan PIB sepatutnya berlangsung pada 12 Mac lalu tetapi terpaksa ditunda ekoran sebahagian besar pemain serta pegawai Melaka United dijangkiti Covid-19.

Melaka United dalam saingan Liga Super setakat ini mengharungi dua perlawanan dengan melakar keputusan seri 1-1 ketika berdepan Penang FC, tewas 0-1 kepada PJ City.

Artikel Berkaitan:

Mengenai persiapan pasukan, Vidakovic yang menggantikan Zainal Abidin Hassan pada awal musim akan tampil dengan kekuatan terbaik dimiliki Melaka United kerana mahu menguji tahap kecergasan pemain selepas hampir berehat tiga minggu tanpa sebarang perlawanan kompetitif.

“Saya akan meletakkan kesebelasan terbaik yang dimiliki Melaka apabila berdepan PIB kerana mahu memberikan mereka minit permainan yang juga persediaan untuk hadapi Liga Super.

“Selepas pemain telah pulih dari Covid-19, saya harap mereka mampu peraga aksi yang diharapkan kerana pasukan ini masih dalam fasa membina persefahaman pemain.

“Kami bermula agak lewat dari segi persiapan dan harap perlawanan dengan PIB mampu menjadi pemangkin semangat buat kami dalam misi mencari kemenangan sulung,” katanya.


PIALA FA

Pusingan Pertama

KHAMIS (31 MAC)

Kuching City lwn UiTM FC

(Std Negeri, Kuching, 8.15 mlm)

Melaka Utd lwn PIB FC

(Std Hang Jebat, 8.15 mlm)

Perak FC lwn Kijang Rangers

(Std Perak, 9 mlm)