MFL akui bimbang status Perak FC

Stuart
Stuart
A
A
A

SETELAH tersingkir ke saingan Liga Premier musim ini, Perak FC kini berdepan musibah lebih besar apabila berkemungkinan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 susulan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji para pemain.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam yang turut mendedahkan bahawa skuad The Bos Gaurus itu berdepan tindakan sedemikian sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan berkenaan 31 Mac ini.

“Sebenarnya ada dua isu yang sedang dihadapi oleh Perak FC ketika ini iaitu isu hutang tahun lalu (2021) dan isu tunggakan gaji musim 2022.

“Bagaimanapun, isu gaji tidak dibayar selain tunggakan gaji bagi musim 2022 merupakan isu yang mendapat perhatian kita dan kita juga saling berhubung dengan Perak FC mengenainya.

“Oleh itu, kegagalan Perak FC menyelesaikan isu bayaran termasuk tunggakan gaji berkenaan bakal menyaksikan kelab ini tersingkir daripada saingan Liga-M,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Untuk rekod, isu tunggakan gaji itu telah berlarutan hingga memberikan impak besar kepada kelab tersebut apabila ramai pemain pasukan itu mula meninggalkan pasukan berkenaan pada awal musim.

Lebih parah, gara-gara tunggakan gaji berkenaan, Perak FC dilaporkan hanya mampu mendaftarkan seramai 20 pemain bagi mengharungi pusingan pertama saingan musim ini.

Tambah Stuart, selain isu tunggakan gaji, Perak FC juga berdepan isu hutang 2021.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, isu tunggakan gaji itu turut mendapat perhatian Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang juga telah mendapat penyelesaian secara perjanjian.

“Selain isu tunggakan gaji musim 2022, Perak FC juga berdepan isu gaji tahun lalu yang tidak dibayar.

“Malah, ia telah pun dibawa kepada pengetahuan PFAM dan ia telah pun mencapai penyelesaian perjanjian (settlement agreement), bersama pemain serta pegawai terlibat.

“Isu ini juga boleh menyebabkan Perak FC akan ditolak tiga mata sebagai hukuman pertama yang dikenakan dalam masa beberapa hari ini,” katanya.

Pada masa sama Stuart yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap Perak FC, berharap agar kedua-dua isu tunggakan gaji berkenaan dapat diselesaikan.

Malah katanya, MFL turut mengharapkan isu tunggakan gaji berkenaan turut mengambil kira situasi semasa.

“Kami di MFL juga turut berharap perkara seperti ini tidak berlaku tetapi berdasarkan langkah-langkah penyelesaian yang dilakukan menggambarkan kebimbangan kami terhadap Perak FC, ketika ini,” katanya.