Ukraine dakwa Rusia mungkir janji

Jumlah pelarian Ukraine telah mencecah lebih empat juta orang sejak kempen pencerobohan Rusia bermula 24 Februari lalu. - Foto AFP
Jumlah pelarian Ukraine telah mencecah lebih empat juta orang sejak kempen pencerobohan Rusia bermula 24 Februari lalu. - Foto AFP
A
A
A

KIEV - Pihak berkuasa Ukraine pada Rabu mendakwa tentera Rusia masih meneruskan kempen pengeboman ke atas bandar Chernihiv walaupun Moscow berjanji untuk mengurangkan aktiviti ketenteraan mereka di kawasan itu sebagai usaha meredakan konflik bersama Kiev yang memasuki hari ke-35.

“Pihak musuh ‘menunaikan janji mereka’ dengan membedil termasuk melancarkan serangan udara ke atas Nizhyn. Chernihiv tetap dihujani peluru sepanjang malam,” ujar Gabenor Wilayah, Vyacheslav Chaus menerusi media sosial.

Ketika berucap di stesen televisyen, Chaus juga menjelaskan situasi masih belum berubah, sehari selepas Kremlin mengumumkan ia akan mengubah taktik operasi ketenteraan mereka.

Ketika mengumumkan langkah tersebut selepas rundingan damai di Istanbul berakhir, Timbalan Menteri Pertahanan, Alexander Fomin memaklumkan Moscow akan mengurangkan aktiviti ketenteraan mereka di sekitar Kiev dan bandar utara Chernihiv.

“Keputusan ini untuk meningkatkan kepercayaan bersama dan mewujudkan syarat diperlukan untuk rundingan selanjutnya serta mencapai matlamat akhir bagi memeterai perjanjian damai antara kedua-dua belah pihak,” ujarnya yang tidak merujuk kepada bahagian selatan dan timur Ukraine yang menyaksikan serangan diperhebat sejak beberapa minggu lalu.

Pengumuman itu bagaimanapun menerima pandangan skeptikal Kiev dan Barat.

Jurucakap Pentagon, John Kirby mendakwa Moscow gagal menunaikan janji mereka berikutan majoriti anggota tentera Rusia masih kekal di kedudukan mereka di sekitar Kiev.

“Objektif untuk menguasai Kiev gagal, namun ia tidak bermakna ancaman itu sudah berakhir,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Tentera Ukraine memberi amaran pengunduran tentera Rusia sekitar Kiev dan Chernihiv mungkin hanya sebahagian taktik untuk mengelirukan mereka.

Setakat ini, jumlah kematian di Chernihiv telah meningkat kepada 350 orang manakala kira-kira 120,000 orang masih terperangkap di bandar yang sebelum ini berpopulasi 280,000 penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan damai Rusia-Ukraine di Istanbul pada Selasa berlangsung secara konstruktif, menurut ketua delegasi Moscow, Vladimir Medinsky.

Jelasnya, Kremlin bersetuju mengambil dua langkah untuk meredakan krisis tersebut iaitu menawarkan pertemuan antara Presiden Vladimir Putin bersama rakan sejawatannya di Kiev, Volodmyr Zelenskyy dan mengurangkan aktiviti ketenteraan di ibu kota Ukraine dan Chernihiv.

Beliau juga memaklumkan mereka akan mengkaji cadangan bertulis dikemukakan Kiev termasuk larangan pengeluaran dan penggunaan senjata berbahaya serta melarang penempatan pangkalan tentera asing di negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.

Wakil delegasi Ukraine, Alexander Chaly berkata, mereka bersetuju menerima pakai status neutral dan bukan nuklear jika diberi jaminan keselamatan sama seperti dalam Perkara 5 Perjanjan Atlantik Utara.

Difahamkan, rundingan itu dijadualkan berlangsung selama dua hari sehingga Rabu, namun berakhir sehari lebih awal. - AFP