PAC panggil Khairy, Tengku Zafrul isu MySejahtera

Dari kiri: Khairy Jamaluddin, Tengku Zafrul
Dari kiri: Khairy Jamaluddin, Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil dua menteri berhubung Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera dalam prosiding yang dijangka pada pertengahan April ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan memanggil Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Baru-baru ini, PAC mempersoalkan pengambilalihan MySejahtera oleh MySJ Sdn Bhd daripada KPISoft atau kini dikenali sebagai Entomo Malaysia.

Kabinet dilaporkan sudah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Kementerian Kesihatan pada November untuk melantik MySJ mengambil alih aplikasi itu menerusi runding terus.

Tambah Kah Woh, PAC berpandangan, isu berhubung Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera perlu dijelaskan secara telus di hadapan jawatankuasa itu sebagai sebuah jawatankuasa nonpartisan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Khasnya pelantikan sebuah syarikat swasta sebagai pengendali aplikasi MySejahtera secara rundingan terus serta kos yang terlibat.

“Tambahan pula, ia membabitkan isu berhubung keselamatan data peribadi rakyat sekali gus mengelakkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas maklumat peribadi rakyat,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, adalah amat wajar PAC mengadakan prosiding isu aplikasi MySejahtera selaras dengan punca kuasa jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Selain itu, PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 dalam mengendalikan prosiding ini," katanya.