Pejuang kalah PRN Johor sebab tiada duit: Dr Mahathir

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

LANGKAWI - Tidak ada wang membeli undi didakwa menjadi punca kekalahan teruk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada parti tertentu didakwa memberi wang kepada pengundi untuk memilih parti mereka pada PRN Johor.

"Dekat Johor, kita (Pejuang) tidak ada duit. Orang lain semua bagi duit. Bila kita telefon orang (untuk) mengundi Pejuang. Dia tanya berapa nak bagi.

"Dia (pengundi) kata UMNO bagi RM200, kita nak bagi berapa. Kita kata kita tak boleh bagi apa pun, kita tak ada duit tetapi kita berjuang untuk bangsa kita, untuk negara kita. Dia tidak undi kita, dia nampak RM200. Sedangkan RM200 itu berapa hari nak tahan," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada ahli kariah Masjid Nur Al-Naim, Jalan Makam Mahsuri di Langkawi, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir mengulangi pendirian bahawa Pejuang akan bertanding di seberapa banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Kita nak bertanding seberapa banyak yang boleh. Tapi kita hendak supaya orang semua ingat parti Pejuang ini bukan berjuang sebab mahu cari duit. Orang lain (parti lain) berjuang sebab mahu jadi calon, nak jadi menteri, nak duit.

"Kita (Pejuang) tidak mahu duit tetapi kita hendak tubuh kerajaan yang boleh berkhidmat untuk bangsa untuk negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika diminta mengulas dakwaan Pejuang akan bergabung dengan beberapa parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menubuhkan Gerakan Pejuang Nasional (GPN), Dr Mahathir menafikan perkara itu.

"Waktu ini, kita tidak bergabung dengan sesiapa. Pasal kalau kita nak bergabung dengan orang (parti lain), orang (parti lain) hendak buat cara dia, kita nak buat cara kita.

“Kita cuba berjuang untuk orang Melayu supaya orang Melayu tidak meminta-minta pada orang lain. Kita ada kebolehan. Itu perjuangan kita tetapi orang yang datang dari parti lain, mereka asyik kira duit, nak bagi duit sana dan sini beli undi. Itu satu jenayah, satu kesalahan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memaklumkan kesediaan Pejuang untuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang bersifat bersih dan ikhlas.

"Kalau dia ikhlas, kalau dia bersih, kita terima. Kita terima tidak kisah sesiapa pun,"katanya.