SPMS pacu produktiviti, pendapatan peneroka Felda

A
A
A

Penyerahan Kit Panduan Mekanisasi Perladangan Felda kepada wakil kepimpinan peneroka.
Penyerahan Kit Panduan Mekanisasi Perladangan Felda kepada wakil kepimpinan peneroka.

BANGI - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah melancarkan Sistem Pengurusan Ladang Pintar (SPMS) sebagai salah satu tunjang memperkasa pengurusan ladang peneroka dengan asimilasi teknologi yang berkonsepkan perladangan pintar.

Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, SPMS merupakan sistem yang dibangunkan dengan capaian data menggunakan teknologi UAV (Unmanned Aerial Vehicle) atau dron bagi model pertanian pintar untuk merealisasikan konsep pertanian jitu atau pertanian digital yang dapat membantu meningkatkan produktiviti serta kecekapan sekali gus mengurangkan kos operasi ladang.

Majlis Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Felda, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Felda, Abd Halim Abd Majid.

Pelancaran SPMS ini merupakan salah satu inisiatif proaktif bagi menggalakkan penerimagunaan teknologi dan mekanisasi ladang di semua rancangan Felda.

SPMS telah diintegrasikan dengan sistem e-GIS (Geographical Information System) Felda sedia ada yang boleh digunakan bagi analisis kawasan, dirian pokok, status kesihatan pokok, kawasan kosong, penggunaan buruh dan anggaran hasil bagi ladang peneroka.

Artikel Berkaitan:

Abd Halim (dua dari kanan) ketika merasmikan pelancaran SPMS sempena Hari FELTECH 2022, hari ini.
Abd Halim (dua dari kanan) ketika merasmikan pelancaran SPMS sempena Hari FELTECH 2022, hari ini.

Sementara itu, Abd Halim ketika berucap pada majlis sama pula berkata, dengan adanya SPMS, ia secara tidak langsung dapat mengubah cara kerja Felda ke arah teknologi dan mekanisasi serta solusi pertanian secara digital dalam melaksanakan pertanian persis iaitu ‘precision farming’ atau precision agriculture’ khususnya dalam inventori perladangan.

SPMS turut dapat membantu meningkatkan hasil sawit, mengurangkan kos serta meningkatkan produktiviti dan efisiensi, di samping memberi impak yang besar kepada warga Felda, terutama dalam meningkatkan tahap sosioekonomi peneroka.

Seramai 1,800 peserta yang majoritinya terdiri daripada warga Felda menghadiri program FELTECH 2022 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Antara objektif penganjuran FELTECH 2022 ialah menyebar luas pelaksanaan teknologi dan mekanisasi ladang di semua rancangan Felda, meningkatkan kesedaran warga Felda tentang kebaikan penggunaan mekanisasi dan memperkasa pengurusan operasi ladang menggunakan teknologi dan mekanisasi dengan sokongan padu dan pemglibatan daripada peneroka.