'Isu pengeluaran KWSP tak sepatut dijadikan bahan politik'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KOTA BELUD - Jangan jadikan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai bahan politik untuk meraih populariti, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, isu pengeluaran KWSP adalah berkaitan dengan kebajikan dan nasib rakyat di negara ini.

"Saya tidak gemar apabila ia dijadikan bola sepak politik yang digunakan untuk meraih populariti beberapa orang tokoh-tokoh politik.

"Sebenarnya sebelum ini wang KWSP sudah dibenarkan pengeluarannya di zaman Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika beliau menjadi Perdana Menteri, jadi bagi saya ia tidak sepatutnya dijadikan sepak terajang politik," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengeluaran khas wang KWSP RM10,000 digunakan untuk membayar semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi PTPTN berpendapat, tidak sesuai wang yang dikeluarkan itu digunakan untuk membayar pinjaman PTPTN.

"Pengeluaran wang KWSP satu perkara yang dilakukan kalau perlu dan bukan untuk bermewah-mewah tetapi kalau perlu dan ramai sebenarnya yang terdesak memerlukan wang itu.

"Tidak sesuai keluarkan wang KWSP untuk bayar PTPTN, itu bukan tujuannya. Keluar KWSP kalau perlu untuk menjaga kebajikan diri sendiri dan keluarga pada masa ini," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan pencarum KWSP itu sendiri bagi menentukan pengeluaran wang terbabit.

Sementara itu, mengulas berhubung Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dihadirinya, Wan Saiful berkata, SSPN berjaya membuat kutipan deposit sebanyak RM3 bilion di seluruh negara pada tahun lalu sekali gus kali pertama dalam sejarah PTPTN.

"Kita menyasarkan sebanyak mungkin akaun dibuka dan simpanan deposit yang dikumpulkan. Tahun lepas kita mencatat satu rekod yang baik dari segi kutipan deposit sepanjang tahun.

"Tahun ini cabaran kita untuk jadi lebih baik daripada tahun lepas dan kita akan perbanyakkan kempen menabung untuk meningkatkan pendeposit menerusi SSPN," ujarnya.