PRU15: Rundingan perlu diadakan elak pertembungan GRS-BN

Japlin (kiri) disaksikan Wan Saiful (tengah), menyampaikan replika kad sumbangan akaun SSPN Prime kepada kanak-kanak yang menerima bantuan SSPN di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud.
Japlin (kiri) disaksikan Wan Saiful (tengah), menyampaikan replika kad sumbangan akaun SSPN Prime kepada kanak-kanak yang menerima bantuan SSPN di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud.
A
A
A

KOTA BELUD - Rundingan perlu diadakan antara parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Barisan Nasional (BN) bagi mengelak daripada berlaku pertembungan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Strategi dan Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, ketika ini kerajaan negeri berada dalam satu gabungan iaitu GRS yang didaftarkan dengan beberapa parti serta kerjasama dengan BN.

"Satu gabungan yang baik dan pada saya gabungan yang kukuh ini adalah untuk memastikan politik di negeri Sabah akan terus dalam keadaan yang stabil.

"Memang setiap parti akan menyatakan bertanding sebanyak kerusi yang boleh, sama juga Bersatu kita cuba berjuang seberapa banyak kerusi yang kita boleh tandingi.

"Tetapi hakikatnya nanti apabila tiba waktunya, ketua-ketua parti dengan komponen GRS dan BN akan berunding, bermesyuarat untuk menentukan mana satu kerusi yang perlu ditandingi oleh parti-parti itu berdasarkan keupayaan, boleh memenangi kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Kawasan Kota Belud disempurnakan Ketua Penerangan Bersatu merangkap Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Wan Saiful Wan Jan di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, pada Rabu.

Japlin yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Belud berkata, tujuan kerjasama itu dibentuk untuk mewujudkan politik stabil demi mengalahkan pihak pembangkang selain mengelak daripada berlaku pertembungan dalam pilihan raya.

"Pewujudan GRS-BN yang disebutkan sekarang dalam kerajaan negeri bertujuan untuk memastikan tidak ada pertembungan berlaku kalau boleh.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tidak dapat dielakkan itu terserah kepada situasi pada ketika itu. Tetapi saya percaya semua parti dalam gabungan ini faham dan tahu jika berlakunya pertembungan ia akan membawa kesan yang kurang baik.

"Saya sedar bahawa semua parti itu akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kalau boleh tidak ada pertembungan berlaku tetapi kalau tidak dapat dielakkan, itulah politik namanya," katanya.