Jualan barangan antik perlu diwujudkan semula

Ruangan koleksi ‘bundle’ yang merupakan antara tarikan utama Bazar Karat, Johor Bahru. (Gambar kecil: Fuad Rahmat )
Ruangan koleksi ‘bundle’ yang merupakan antara tarikan utama Bazar Karat, Johor Bahru. (Gambar kecil: Fuad Rahmat )
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tarikan baharu perlu diwujudkan di Bazar Karat bagi menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri terutama Singapura seterusnya dapat meningkatkan pendapatan 328 peniaga di bazar itu.

Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat, Fuad Rahmat berkata, peniaga yang terjejas berikutan dua kali Bazar Karat ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 kini mampu menarik nafas lega susulan pembukaan semula sempadan 1 April ini.

Katanya, bazar berkenaan sebelum ini menjadi tarikan pelancong termasuk 70 peratus pelanggan dari Singapura.

Bagaimanapun, beliau melihat tarikan baharu iaitu jualan barangan antik perlu diwujudkan semula bagi memberi nafas baharu kepada Bazar Karat selepas sempadan negara dibuka kelak.

“Bazar Karat yang dibuka pada tahun 2009 dikenali dengan jualan barangan antik namun semakin lama berkurangan apabila ramai peniaga menjual pakaian, makanan dan sebagainya.

“Pihak persatuan berpandangan jualan barangan antik perlu dirancakkan semula untuk memberi nafas baharu kepada Bazar Karat. Perlu ada daya tarikan unik bagi menarik pelancong luar terutama dari Singapura yang dilihat lebih gemar kepada barangan antik.

“Cadangan ini telah saya beritahu kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Noorazam Osman sewaktu beliau melakukan lawatan di Bazar Karat pada Februari lepas dan respons positif diberikan beliau,” katanya.

Menurut Fuad, persatuan telah mengenal pasti peniaga barangan antik di negeri ini yang mahu berniaga di Bazar Karat dan sebanyak 20 lot tapak diperuntukkan kepada peniaga barangan antik terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Bandar, Suhaimi Ahmad memberitahu, selain bantuan bakul makanan diberikan kepada peniaga di Bazar Karat, pengindahan dan kebersihan bazar antara yang diutamakan.

Katanya, Bazar Karat perlu mempunyai identitinya yang tersendiri bagi menarik pengunjung seterusnya dapat meningkatkan jualan dan pendapatan peniaga terutama apabila pengunjung dari Singapura dibenarkan merentas sempadan kelak.