Selamba memandu tanpa lesen, insurans

Kenderaan perkhidmatan yang disita oleh JPJ.
Kenderaan perkhidmatan yang disita oleh JPJ.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Megat Shariffuddin Megat Ahmad Zakir berkata, operasi yang dijalankan selama seminggu di seluruh negeri ini telah memeriksa 346 buah kenderaan perkhidmatan barangan dan perkhidmatan awam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu pihaknya telah mengeluarkan 102 notis atas pelbagai kesalahan selain menyita enam buah kenderaan.

"Sikap ambil mudah pengusaha serta mementingkan keuntungan dengan membenarkan pemandu memandu kenderaan yang tamat tempoh LKM serta tiada perlindungan insurans amat merbahaya kepada pemandu dan juga kepada pengguna jalan raya lain.

"Sekiranya berlaku kemalangan disebabkan kenderaan tersebut tidak dilindungi insurans," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Megat Shariffuddin berkata, ketika pemeriksaan dibuat ada di kalangan mereka yang langsung tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab ini amat berisiko dan boleh mengundang padah disebabkan pemandu terbabit tidak berkemahiran memandu terutama kenderaan perkhidmatan barang atau awam.

Jelasnya, kenderaan mereka boleh disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Kepada pengusaha Kenderaan Perkhidmatan Barangan dan Kenderaan Perkhidmatan Awan dinasihatkan supaya memastikan kenderaan mempunyai LKM yang berkuatkuasa dan mengambil pemandu yang memiliki lesen memandu yang sah bagi mengelak dari dikenakan tindakan saman dan kesulitan semasa di jalan raya.

"Penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus akan terus dilakukan bagi memastikan pengusaha dan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang serta tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin selamat," katanya.