Tingkat kerjasama negara ASEAN perkukuh keselamatan siber serantau

Wan Ahmad Dahlan (kiri) ketika mewakili Hamzah di Majlis Pelancaran Buku 'Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet' di MITEC, Kuala Lumpur pada Selasa.
Wan Ahmad Dahlan (kiri) ketika mewakili Hamzah di Majlis Pelancaran Buku 'Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet' di MITEC, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempertingkatkan lagi kerjasama strategik bersama anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mengukuhkan lagi agenda keselamatan siber serantau.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif dan kolaborasi secara berterusan oleh semua pihak terbabit amat penting serta perlu diperluaskan lagi dalam menghadapi era baharu ancaman siber yang kompleks.

"Ini termasuk agensi dengan wakil daripada sektor swasta termasuk swasta syarikat, sektor perbankan, universiti dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk melaksanakan latihan ujian siber di peringkat kebangsaan.

"Tindakan kerjasama ini sudah pasti akan mengeratkan lagi hubungan antara negara Asia dan memberikan pemahaman yang lebih umum tentang cara mengendalikan serangan siber di rantau Asia Tenggara," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku 'Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet' di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jenayah siber perlu ditangani segera kerana ia memberikan impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi terutama sektor ekonomi digital negara.

"Internet adalah alat inovatif yang mempunyai keupayaan untuk menghasilkan bukan sahaja membuat video atau berkawan atau menyebarkan harapan dan idea.

"Tetapi ia juga adalah alat yang mempunyai kuasa untuk menyebarkan ketakutan, maklumat salah atau keganasan pada skala yang lebih besar," ujarnya.

Artikel Berkaitan: