Perak tidak kompromi isu alam sekitar

Mohd Akmal menjawab soalan tambahan Datuk Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.
Mohd Akmal menjawab soalan tambahan Datuk Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak akan berkompromi dalam isu kelestarian dan pencemaran alam sekitar terutama di kawasan yang diklasifikasikan sebagai sensitif.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, tindakan dan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang tidak mematuhi piawaian dan peraturan sedia ada.

Menurutnya, kerajaan negeri hanya akan bertindak adil kepada pihak berkepentingan seperti pelabur dan pemain industri sekiranya mereka mematuhi segala ketetapan seperti mana termaktub dalam Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Memang kita perlu seimbangkan antara keperluan pembangunan untuk menarik pelabur dan menambah pendapatan negeri.

"Namun dalam isu alam sekitar ini, kita tidak mahu sampai merosakkan alam sekitar bermakna, jika kita dapati permohonan (pembangunan) itu bertentangan dengan apa yang termaktub dalam akta, maka kita tidak akan beri kelulusan.

"Kita tidak boleh berkompromi terhadap kerosakan alam terutama di kawasan sensitif, lagi-lagi yang hampir dengan penduduk ramai, lagilah kena ambil perhatian," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri telahpun menggerakkan Program Perak Bumi Lestari untuk memastikan setiap pembangunan adalah seimbang, mengharmonikan dan mengintegrasi dimensi alam sekitar dalam dasar semua sektor selain memantapkan penguatkuasaan berkaitan isu-isu pencemaran alam sekitar.

Katanya, bagi merealisasikan agenda itu, setiap agensi atau jabatan dikehendaki memberi fokus dalam memastikan setiap pembangunan adalah seimbang.

Artikel Berkaitan:

"Adalah penting bagi setiap agensi kerajaan, berganding bahu dengan pihak swasta untuk bersama-sama memberi kesedaran terhadap masyarakat bagi menghayati konsep pemuliharaan alam sekitar dalam kehidupan.

"Secara tidak langsung nilai-nilai murni dapat diterapkan kepada setiap anggota masyarakat yang mempunyai kepentingan terhadap kesejahteraan hidup dalam persekitaran yang sihat dan bersih," katanya.

Menjawab soalan Cheah Pou Hian (DAP- Jelapang), Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri akan terus mempertingkat dan mempergiatkan lagi program- program kesedaran dan pendidikan alam sekitar dalam merealisasi agenda Perak Bumi Lestari.

"Dalam masa sama penguatkuasaan bersepadu antara agensi kerajaan adalah elemen penting untuk memastikan premis industri yang diluluskan tidak menimbulkan isu-isu pencemaran alam sekitar setempat," katanya.

Pada Isnin, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa ketaksuban untuk memajukan prasarana dan meraih keuntungan perniagaan tidak boleh dijadikan lesen menghalalkan manusia bersifat rakus memusnahkan alam sekitar.

Baginda bertitah, pembangunan negara seharusnya mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar agar berlaku keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam.