Inkues Adib: Tulang rusuk Adib tertusuk pada paru-paru

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan bedah siasat terhadap jasad Muhammad Adib Mohd Kassim mendapati dua tulang rusuk anggota bomba itu tertusuk pada paru-paru kanannya.

Pakar Perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizan Hasmi memberitahu Mahkamah Koroner, dua tulang itu adalah daripada empat yang patah.

"Tulang rusuk kedua hingga lima patah pada bahagian hadapan dan sisi, tulang rusuk ketiga patah pada tiga tempat manakala tulang rusuk keempat patah dua tempat," katanya.

Dr Ahmad Hafizan yang merupakan saksi ke 24 berkata, otak si mati juga berwarna hijau akibat daripada kesan daripada tindak balas ubat Methylene Blue semasa rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Otak manusia normal adalah bukan hijau," katanya pada pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Inkues Hamdan Hamzah.

Menurutnya, pemeriksaan forensik dilakukan bermula jam 1 pagi selepas menerima jasad jam 12.36 pagi pada 18 November 2018.

Hamdan: Bagaimana keadaan mayat ini sewaktu menerima?

Saksi: Semasa penerimaan, mayat yang diterima masih ada baju kuning hospital di atas badan si mati. Kain biru dan masih terdapat tiub rawatan pada jasad.

Artikel Berkaitan:

Hamdan: Beritahu mahkamah, apakah hasil pemeriksaan luaran?

Saksi: Pemeriksaan menunjukkan satu jasad lelaki dewasa ketinggian 175cm dan berat 83 kg.

Mayat masih lagi panas ketika disentuh. Kulit badan secara keseluruhan kekuningan. Sfera mata juga kekuningan. Badan mayat juga dilihat bengkak air.

Terdapat kesan-kesan pendarahan pada bawah kulit si mati. Tiada barang peribadi yang ada berada bersama si mati. Terdapat tanda-tanda rawatan.

Prosiding hari ke 15 berlangsung dihadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung jam 2 petang.

Muhammad Adib,24, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Dia menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember, jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa.