Perak beri Pulau Pinang sebab kukuh tidak jual air mentah

Saarani ketika menjawab soalan lisan Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.
Saarani ketika menjawab soalan lisan Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk tidak membekalkan air mentah Sungai Perak kepada Pulau Pinang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketetapan itu dibuat berasaskan kepada laporan dan ulasan empat agensi penting iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN).

Menurutnya, laporan daripada empat agensi itu membuktikan bahawa air Sungai Perak hanya cukup untuk kegunaan dalam Perak sahaja dan tidak dapat dibekalkan kepada negeri lain.

"Walaupun kita bersimpati dengan masalah Pulau Pinang, namun kerajaan Perak mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk tidak dapat memenuhi permintaan itu.

"Perkara ini telah diberi penekanan semasa sesi kunjung hormat Ketua Menteri Pulau Pinang ke atas Menteri Besar Perak pada 1 Mac lalu," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, air Sungai Perak bukan sahaja digunakan untuk sumber bekalan air terawat bagi kegunaan harian rakyat negeri ini, tetapi digunakan secara meluas untuk tujuan penjanaan tenaga hidroelektrik selain pertanian, perikanan dan perindustrian yang semakin berkembang di negeri ini.

Katanya, terdapat empat empangan TNB yang berfungsi menjana elektrik untuk kegunaan negara iaitu Empangan Temengor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh.

"Sebarang pengurangan kepada isipadu air empangan akan menjejaskan keupayaan penjanaan tenaga elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada LAP pula, sebanyak 50 peratus daripada sumber bekalan air terawat bagi rakyat Perak adalah berpunca dan dirawat daripada Sungai Perak dan anak-anak Sungai Perak melalui Loji Rawatan Air (LRA), LAP yang terletak di sepanjang Sungai Perak.

"Selain itu, LAP juga dalam perancangan menaiktaraf kapasiti memproses air mentah di beberapa LRA miliknya dan membangunkan LRA baru di Kampung Gajah untuk bekalan air ke kawasan pembangunan di Seberang Perak sepanjang jajaran West Coast Expressway (WCE) dan juga bagi kegunaan Daerah Bagan Datuk yang memerlukan penggunaan sumber air Sungai Perak," katanya.

Saarani berkata, jelapang padi negeri ini yang terletak di daerah Kerian yang sumber air utamanya adalah dari Empangan Bukit Merah telah kerap kali berlaku penyusutan ketara terutama pada musim kemarau.

Justeru katanya, JPS mengesyorkan supaya kerajaan negeri memberikan keutamaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi di kawasan itu.

"Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan penduduk Perak pada 2050 akan meningkat kepada 3 juta orang berbanding 2.5 juta orang pada masa sekarang.

"Sudah pastilah bilangan penduduk yang bertambah akan memerlukan penggunaan air yang lebih banyak. Oleh yang demikian, Negeri Perak perlu memastikan permintaan air bagi rakyat negeri ini sentiasa mencukupi bagi keperluan domestik dan juga komersial pada setiap masa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UPEN juga mengunjurkan pelaburan bagi tujuan industri di negeri ini semakin berkembang terutamanya di kawasan Perak Utara dan ketersediaan bekalan air yang mencukupi merupakan salah satu faktor penting dalam menarik minat pelabur untuk bertapak.

Katanya, berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), sebanyak 20 kilang sarung tangan getah telah diluluskan dari tahun 2017 sehingga 2020 dan sebanyak 16 kilang telah memulakan operasi dan bakinya masih dalam peringkat perancangan pembinaan.

"Sebanyak sembilan kilang sarung tangan ini terletak di kawasan Perak Utara iaitu di Kawasan Perindustrian Kamunting 1 dan Kamunting Raya.

"Kilang sarung tangan getah memerlukan penggunaan air yang tinggi untuk membolehkannya beroperasi dengan kapasiti optimum. Justeru, kecukupan bekalan air Perak perlu mengambil kira unjuran perkembangan perindustrian terutamanya kilang berasaskan getah," katanya.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan), Saarani berkata, pengambilan air secara berterusan bagi tujuan pembekalan itu juga boleh memberi implikasi kritikal di kawasan-kawasan ‘downstream’ Sungai Perak termasuk 14 muka sauk sedia ada yang digunakan bagi tujuan LRA dan pengairan, terletak di bahagian Hilir Perak.

Menurutnya, berdasarkan kajian perunding diilantik Kerajaan Persekutuan, pada ketika ini kawasan sesuai untuk dijadikan titik pengambilan air mentah Sungai Perak adalah selepas Empangan Chenderoh, bagaimanapun LAP dan JPS telah memberikan pandangan bahawa pengambilan air sama ada dari bahagian hulu ataupun hilir Empangan Chenderoh memberi implikasi ke atas muka sauk sedia ada.

"Jadi jika ambil air dari bawah Empangan Chenderoh itu, sudah pasti 14 muka sauk ini akan terjejas, kadar pengeluaran air yang tinggi mengakibatkan kedalaman Sungai Perak semakin cetek dan tebing sungai semakin melebar.

"Kerana itu walaupun ada cadangan (bekal air kepada negeri lain) kerajaan negeri masih lagi berpegang kepada analogi bahawa kegunaan air untuk rakyat Perak jauh lebih penting.

"Macam naik kapal terbang, biasanya pramugari pesan jika jatuh corong (muka), maka hendaklah menekup muka sendiri dulu sebelum bantu menekup muka orang lain.

"Maknanya kita selamatkan diri sendiri dahulu baru kita boleh selamatkan orang, itulah analogi yang kita pegang," katanya.