'Tak perlu salahkan UMNO kerjasama MN tergendala' - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan. FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Maslan. FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang seharusnya tidak menyalahkan UMNO dengan dakwaan yang dibuatnya bahawa ada pihak tertentu cuba membawa agenda persendirian sehingga usaha kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) tergendala, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, ini disebabkan tidak sefahaman itu pada asalnya bermula dengan orang-orang tertentu di dalam Pas.

Katanya, ia bermula apabila Pas memasuki Perikatan Nasional (PN).

"Saya difahamkan masa Pas masuk Muafakat Nasional (MN), segala proses parti mereka ikuti. Tetapi apabila Pas masuk PN, proses parti itu mereka tidak ikuti. Itu Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Ahli Parlimen Kuala Nerus) yang beritahu.

"Jadi, jangan salahkan kami bab itu. Kami sudah menyatakan dengan jelas bahawa kami tidak boleh dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), satu dunia tahu. Tapi selepas itu Pas pula rapat dengan Bersatu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Abdul Hadi sebelum ini bahawa ada pihak tertentu cuba membawa agenda persendirian sehingga usaha kerjasama melalui MN tergendala.

Mengulas lanjut, Ahmad turut menyifatkan MN kini dilihat tidak lagi 'subur' selepas berlakunya tiga peristiwa.

"Dia tidak mati tetapi tidak subur. (Iaitu peristiwa) kemasukan Pas ke dalam PN, PRN Melaka dan Johor," tegas Ahli Parlimen Pontian itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad dalam masa yang sama memaklumkan kali terakhir MN bermesyuarat adalah sebulan sebelum PRN Melaka.

Menurutnya, sehingga kini masih belum ada perbincangan untuk mengadakan mesyuarat MN.