Dua syarikat disenarai pendek teraju projek kereta nasional ketiga

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof.
A
A

DUA pembuat kereta telah disenarai pendek untuk menerajui Projek Pengeluaran kereta nasional Ketiga yang dicetuskan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bagaimanapun berkata, terdapat beberapa aspek yang masih dikaji sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

"Kami masih lagi mengkajinya..kini di peringkat akhir perbincangan, tapi secara khusus kita sedang meneliti satu daripadanya, kita tidak mahu buat spekulasi syarikat pembuat kereta yang mana satu, rakan usahasama mana yang kita sedang berunding di tahap akhir,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Kementerian Pembangunan Usahawan di Menara Berkembar Bank Rakyat baru-baru ini.

Mengenai latar belakang dua syarikat itu, Mohd Redzuan memberi gambaran ia berada dalam linkungan ‘Dasar Pandang ke Timur’ yang diperkenalkan Dr Mahathir.

Beliau optimis pelaksanaan projek itu secara tidak langsung dapat merangsang sektor keusahawanan dan kejuruteraan negara.

Jun lepas Dr Mahathir dilaporkan bercadang mewujudkan jenama kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton. Proton tidak dianggap sebagai jenama nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.