DOSM percepat inisiatif penubuhan NBDAC

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang mempercepatkan inisiatif penubuhan Pusat Analitik Data Raya (NBDAC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, NBDAC berfungsi sebagai pusat data nasional yang merapatkan jurang data merentasi kedua-dua sektor awam dan swasta menggunakan analitik dan teknologi termaju sekali gus menawarkan perkhidmatan sokongan keputusan kepada semua industri.

"Permintaan untuk statistik bagi penggubalan dasar berasaskan bukti semakin meningkat dari masa ke masa.

"Justeru, Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) akan diperkasa melalui DOSM sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, antara agenda PSSN ialah melalui penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi hala tuju kepada sistem statistik negara dan penyelarasan maklumat peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, pelbagai projek lain berkaitan Analitik Data Raya sedang sedang dijalankan oleh Jabatan adalah Statistics Big Data Analytics (StatsBDA), Statistics Data Warehouse (StatsDW), Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS), Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) dan Labour Market Information and Analytics Platform (LMIAP).

Dalam pada itu, Mohd Uzir memaklumkan seramai 10 orang saintis data di bawah program kerjasama DOSM - SAS Institute telah diiktiraf dalam satu majlis graduasi yang berlangsung di Le Meridien Putrajaya pada Isnin.

Ia sekali gus menyaksikan DOSM kini sudah mempunyai 19 saintis data dengan kemahiran penting yang diperlukan seperti statistik, penyusunan data, analisis lanjutan, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

Artikel Berkaitan:

"Ini telah membantu DOSM menyediakan input bagi penggubalan dasar yang lebih komprehensif dan tepat berdasarkan data dan membangunkan kepakaran analisis data yang lebih mendalam di peringkat Jabatan.

"Memandangkan DOSM merupakan agensi kerajaan pertama di dunia yang mempunyai Saintis Data yang diperakui SAS pada 2018, banyak agensi kerajaan di seluruh negara kini mengikuti jejak langkah DOSM untuk memiliki bakat yang sama dalam organisasi mereka dan mengakui kepentingan sains data dalam membuat keputusan," katanya.