Gagal seludup masuk 43 PATI warga Indonesia

Bot yang membawa 43 PATI cuba meloloskan diri namun berjaya dipintas serta ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Sungai Janggut, Kapar pada Isnin.
Bot yang membawa 43 PATI cuba meloloskan diri namun berjaya dipintas serta ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Sungai Janggut, Kapar pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Cubaan sebuah bot membawa 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia meloloskan diri ketika dikejar pihak berkuasa gagal apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Sungai Janggut, Kapar pada Isnin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kesemua PATI termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.6 batu nautika barat daya Sungai Janggut, Kapar selepas bot mereka berjaya dipintas.

"Kira-kira jam 12.10 tengah malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan sebuah vesel mencurigakan sedang bergerak sekitar perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram.

"Sebuah bot ronda yang menjalankan Op Belangkas kemudian digerakkan ke lokasi berkenaan.

"Anggota penguat kuasa telah menemukan sebuah bot pom-pom sarat dengan penumpang dan diarahkan berhenti namun tidak diendahkan. Bot itu kemudian bertindak memecut laju namun berjaya dipintas dan ditahan dalam tempoh 10 minit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan kemudian mendapati 30 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak berada di bot tersebut.

"Bot serta kesemua PATI yang ditahan kemudian diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Maritim Malaysia memandang serius isu ini dan akan mempertingkat operasi penguatkuasaan di laut dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabul kedaulatan perairan negara.