Tidak perlu ragu guna aplikasi MySejahtera

Data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.
Data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak ragu-ragu untuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Ia selepas tular di media sosial mengenai data pengguna aplikasi MySejahtera yang dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab sekali gus mengundang kemarahan orang ramai.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek tersebut tidak dikompromi.

Menurutnya, data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan dan segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh kementerian.

Malah, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

Ia sekali gus memastikan data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

Khairy juga menjelaskan transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan (cloud server network) setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera sahaja.

Justeru, tidak timbul isu data dijual kepada pihak lain dengan KKM komited memastikan data peribadi pengguna aplikasi tersebut dirahsiakan.

Artikel Berkaitan: