Tabika Perpaduan masih mendapat sambutan

Halimah (tengah) menyampaikan replika cek Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang pada Ahad.
Halimah (tengah) menyampaikan replika cek Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang pada Ahad.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tabika Perpaduan masih menjadi pilihan ibu bapa walaupun pada masa kini terdapat banyak tabika swasta yang dibuka di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pihaknya sentiasa menambahbaik kualiti pendidikan di Tabika Perpaduan untuk memastikan anak-anak yang dihantar di situ mendapat taraf pendidikan sewajarnya.

Menurutnya, setiap silibus mata pelajaran yang diajar di Tabika Perpaduan berpandukan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Di Tabika Perpaduan kita mempunyai Pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak yang tersusun malah kita juga mempunyai buku teks sendiri hasil kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Selain itu, guru di Tabika Perpaduan juga mempunyai buku lembaran kerja untuk mencatat penyediaan pendidikan yang diajar mengikut tahun, bulan bahkan mingguan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia, di sini pada Ahad.

Halimah berkata, sehingga kini terdapat 1,781 buah tabika membabitkan 37,000 murid di seluruh negara.

Katanya, Kementerian Perpaduan Negara dari masa ke masa menjalankan kaji selidik untuk membuka lebih banyak Tabika Perpaduan pada masa akan datang.

"Pembukaan Tabika Perpaduan ini mengikut permohonan atau keperluan daripada ibu bapa di sesuatu kawasan itu sendiri yang kita tidak buka begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya kawasan itu sudah mempunyai tabika lain sudah tentu kita tidak akan membukanya lagi,” katanya.