79 calon sah bertanding pada PRN Melaka - Pengerusi SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun (tiga, kanan) ketika sidang media mengenai penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Melaka di Wisma Persekutuan Ayer Keroh hari ini. Foto Bernama
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun (tiga, kanan) ketika sidang media mengenai penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Melaka di Wisma Persekutuan Ayer Keroh hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan 79 calon mewakili pelbagai parti dan gabungan politik serta calon Bebas layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pada 14 November ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN)(23), Parti Bersama Malaysia (Bersama)(16) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)(tujuh).

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di lima kerusi, Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) satu kerusi manakala tiga individu bertanding sebagai calon Bebas.

"Bagi bilangan pertandingan mengikut penjuru, pertandingan satu lawan satu melibatkan 11 kerusi, tiga penjuru 11 kerusi dan empat penjuru enam kerusi.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: Proses penamaan calon bermula hari ini

PRN Melaka: Calon PH disambut tarian singa, PN gegar dengan laungan takbir

PRN Melaka: Penyokong PN, PH bersahutan dengan laungan takbir dan ‘hidup rakyat’

PRN Melaka: Ab Rauf diiringi Ahmad Zahid ke pusat penamaan calon DUN Tanjung Bidara

PRN Melaka: Nie Ching iringi calon PH DUN Bandar Hilir

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka: Tiga calon rebut kerusi Paya Rumput

"Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina pula membabitkan 65 calon lelaki dan 14 calon wanita," katanya pada sidang media di Menara Persekutuan Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, calon tertua ialah wakil PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas iaitu Mohamad Jaafar, 66, manakala calon termuda juga daripada PH iaitu Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah, 24, di kerusi DUN Kuala Linggi.

Katanya sebanyak dua calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 14 calon (30 hingga 39 tahun), 33 calon (40 hingga 49 tahun), 22 calon (50 hingga 59 tahun) dan lapan calon berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, selepas proses penamaan calon hari ini, tempoh berkempen adalah sehingga 11.59 malam, 13 November.

"SPR menubuhkan 28 Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon yang bertanding sepanjang tempoh berkempen.

"SPR juga berharap dan mengingatkan agar aktiviti berkempen yang dibenarkan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan ditetapkan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tugas dengan lancar pada hari ini.

"Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka serta jabatan dan agensi di bawahnya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi, Kementerian Komunikasi, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung," katanya.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November.

Proses penamaan calon berlangsung serentak di 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi dan ditutup sejam kemudian. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!