Pelan induk kawalan sempadan dibentang kepada kabinet: KDN

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) berbincang sesuatu ketika melakukan walkabout pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Ahad. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) berbincang sesuatu ketika melakukan walkabout pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menghasilkan satu pelan induk yang komprehensif berkaitan strategi pertahan dan keselamatan negara untuk dibentangkan di kabinet.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelan induk itu hasil kolaborasi antara KDN dan Kementerian Pertahanan (Mindef) yang akan memberi fokus sepenuhnya terhadap pembangunan pertahanan dan keselamatan negara untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, pelan tersebut turut memberi penekanan kepada kawalan sempadan darat, maritim dan laluan-laluan tikus serta mencari jalan terbaik untuk menambah baik keselamatan di dalam negara daripada diceroboh anasir luar, terutama di Lautan Sulu berhampiran Sabah.

"Dari segi kawalan sempadan pertahanan negara, kita tak boleh hanya serahkan kepada satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Pertahanan semata-mata sebaliknya kita kena bergabung tenaga dan kerjasama yang lebih padu.

"Anda boleh melihat kepada Ops Benteng yang dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu, apa yang kita lakukan telah membuktikan kejayaan gabungan padu kedua-dua kementerian dalam penguatkuasaan keselamatan negara.

"Bila kita nak mempertahankan sempadan negara kita yang begitu berhutan, kita perlu semua pihak untuk bekerjasama dan itu motif sebenar kita akan hasilkan satu 'master plan' yang sangat komprehensif untuk sempadan, pertahanan dan keselamatan dalaman kita," dalam sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, pelan induk berkenaan bukan sahaja dapat mengetatkan keselamatan sempadan negara di Sabah, bahkan melibatkan pemantuan sempadan di Kalimantan Sarawak serta sempadan di Semenanjung Malaysia.

"Semua ini kita kena melihat adalah 'master plan' yang komprehensif yang kita gabungkan antara pertahanan dan keselamatan dalam negeri. Insya-Allah dengan kerjasama yang kita tunjukkan, kita akan hasilkan dengan penyelesaian terbaik untuk masa depan negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan: