15 pemandu mabuk ditahan

Dua penunggang motosikal yang didapati melakukan aksi berbahaya turut ditahan.
Dua penunggang motosikal yang didapati melakukan aksi berbahaya turut ditahan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 15 individu yang disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua lelaki berusia 26 hingga 61 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, seramai enam pegawai dan 40 anggota JSPT Kuala Lumpur menjalankan operasi di sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

"Kita turut menahan enam individu berusia 18 hingga 21 tahun termasuk seorang wanita kerana melakukan aksi berbahaya seperti zig zag, roket, superman serta bersaing di jalan raya.

"Mereka juga telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang menunggang motosikal disyaki dicuri bersabit laporan di Jinjang.

"Suspek telah diserahkan kepada Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 278 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 12 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Sarifudin berkata, hasil berkolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur sebanyak tujuh saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal.

"Penunggang motosikal terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.