Jenama pada nama pena

Dari kiri: Rowling, Uthaya, Zurinah dan Hashim
Dari kiri: Rowling, Uthaya, Zurinah dan Hashim
A
A
A

NAMA pena dalam kalangan pengkarya kreatif digunakan sebagai jenama yang mencerminkan identitinya – sama ada identiti sebenar mahupun sebaliknya.

Antara sebab ketara penggunaan nama pena atau nama samaran adalah kerana pengkarya terbabit bereksperimen dengan genre baharu tanpa mahu membabitkan nama sedia ada, ataupun bagi tujuan berselindung di sebalik identiti sebenar atas kepentingan peribadi, penerbit atau pembaca secara umumnya.

Nama pena Haniruz jika diterbalikkan ejaannya dari belakang menjadi Zurinah. Nama pena yang tidak digunakan secara berleluasa itu adalah milik Sasterawan Negara wanita pertama, Datuk Dr Zurinah Hassan.

“Tidak ada sebab yang khusus untuk saya gunakan nama samaran atau nama pena itu,” kata Zurinah yang sangat menyokong penggunaan nama pena dalam kalangan pengkarya terutama untuk kaum lelaki keturunan Melayu.

“Nama lelaki Melayu tidak banyak beza antara satu sama lain. Ia menimbulkan kekeliruan kepada pembaca secara umumnya,” kata Zurinah.

“Kalau nama sebenar bakal penulis itu adalah Usman bin Awang, jika digunakan nama sebenarnya untuk berkarya, ia akan mengelirukan kerana sebelumnya itu sudah ada nama besar dalam dunia penulisan. Jadi, wajar dan pentingnya mereka bertukar kepada nama pena sahaja,” terang Zurinah sambil menceritakan pengalaman beliau yang pernah mengalami situasi sedemikian apabila nama seorang pengarang lebih muda hampir sama dengan nama nya.

Berlainan genre

Aktivis sastera keturunan Malayali, Uthaya Sankar SB menggunakan pelbagai nama pena sekitar tahun 1990-an atas sebab penglibatan genre penulisan yang berlainan dan atas kehendak pihak editorial. Antara nama-nama pena beliau ialah Hanuman O, Shafie Uzein Gharib dan Leonard Loar.

Artikel Berkaitan:

“Nama Shafie Uzein Gharib digunakan apabila menulis cerpen bertemakan Islam, khasnya dalam majalah Dakwah. Selain itu, nama pena diguna apabila karya saya terlalu kerap disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia dan majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika itu. Jadi, editor sendiri menyarankan saya menggunakan nama pena pilihan saya,” kata Uthaya yang tidak lagi menggunakan nama-nama pena tersebut untuk berkarya.

Menurut Uthaya, pada zaman penjajahan British dan Jepun, nama samaran digunakan untuk menyembunyikan identiti sebenar pengarang dengan karya yang bersifat antipenjajah.

“Pada masa kini, penggunaan nama pena tiada motif seperti itu. Lebih kepada estetik atau mahu bina identiti dalam bidang penulisan. Contohnya, Zaen Kasturi dan Faisal Tehrani,” jelas Uthaya yang berbangga apabila disapa dengan nama penanya.

Beliau menggalakkan peserta bengkel menggunakan nama sebenar. Khasnya bagi mengelakkan masalah hak cipta dan royalti atau honorarium. Namun katanya, nama pena masih boleh digunakan jika penulis merasakan nama itu serasi dengan mereka.

Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, Kepten Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob berpendapat, nama pena amat penting bagi pengarang yang ingin memulakan lembaran baharu dalam kerjaya penulisan atau menukar subjek penulisan.

“Ini penting kalau sejarah lampau tidak disukai atau dibenci pembaca. Contohnya, penulis Barat bernama Samuel Clemens yang pernah menulis satira yang memalukan dan tidak disukai ramai. Dia guna nama samaran Mark Twain dan merubah topik tulisan. Terus jadi popular,” kata Hashim.

Jenayah

Menurut beliau, Joanne Rowling pakai nama pena J K Rowling yang terkenal dengan penulisan masyhur siri Harry Porter, tukar nama pena kepada Robert Galbraith kerana terlibat dalam penulisan cerita jenayah.

Dalam hal penghasilan nama pena, seseorang itu perlu mengilhamkan nama pena yang bersifat kreatif, inovatif, unik, beridentiti, dan bernilai komersial.

“Cari nama pena yang sedap didengar mengikut genre penulisannya. Contohnya Peniti Zaman bagi penulis yang menulis tentang perkembangan semasa,” ujar Hashim.

Zurinah berpendapat, nama pena perlu menonjol dan menyerlah dari segi sebutannya seperti Keris Mas atau Tongkat Warrant.

“Keris Mas kalau guna nama sebenar Kamaluddin Muhamad, ia kurang punch line dan bunyinya kurang hebat,” ujar Zurinah.

Uthaya berpendapat, perlu ada keunikan pada nama pena dan tidak ada persamaan dengan penulis yang sudah sedia ada.

“Janganlah pilih nama Fauzi Tehrani atau Faisal Tehran. Pilih nama yang indah, mudah diingat, mudah dieja dan tidak terlalu panjang atau pendek. Jangan gunakan ejaan pelik-pelik. Misalnya, Elyzheeyea atau Myreha Nurtasyhea.

“Jangan pilih nama bunga, buah atau binatang. Fikirkan nama pena yang anda akan rasa bangga dirujuk oleh anak cucu selepas 50 tahun nanti,” tambah Uthaya.