Pengamal perubatan perlu pastikan mutu perkhidmatan terbaik

Tuanku Muhriz ketika membaca titah pada majlis berkenaan pada Sabtu.
Tuanku Muhriz ketika membaca titah pada majlis berkenaan pada Sabtu.
A
A
A
SEREMBAN- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah Pakar Perubatan Keluarga adalah sumber yang paling tepat untuk mendapatkan analisa dan input mengenai keperluan kesihatan rakyat di Malaysia.

Titah baginda, ia kerana para pengamal perubatan dalam bidang kepakaran Perubatan Keluarga (Family Medicine) atau Penjagaan Primer (Primary Care) adalah merupakan individu yang hampir dengan orang ramai kerana mereka sentiasa bersemuka dengan masyarakat dalam memberikan perkhidmatan kesihatan.

"Maklumat daripada Pakar Perubatan Keluarga boleh membantu kerajaan dalam menentukan status semasa kesihatan awam dan membuat perancangan program kesihatan yang sesuai dengan keperluan rakyat.

"Untuk memastikan tahap penjagaan primer di Malaysia selari dengan penjagaan primer di negara lain, doktor-doktor keluarga seharusnya mendapatkan status pakar dalam bidang perubatan keluarga agar mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang kompetitif," titahnya pada Majlis Konvokesyen Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia di sini pada Sabtu.

Dalam konvokesyen tersebut baginda mengurniakan anugerah felo dan kepakaran, diploma dan sijil kepada 205 graduan membabitkan dua sesi iaitu tahun 2020 dan tahun 2021.

Baginda bertitah negara memerlukan seramai 8,000 Pakar Perubatan Keluarga seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Namun pada masa ini, Malaysia hanya mempunyai seramai 700 Pakar Perubatan Keluarga yang sedang memberikan perkhidmatan di sektor kerajaan dan swasta.

"Oleh itu, beta menyeru agar lebih ramai lagi doktor-doktor keluarga meneruskan pengajian bagi memperolehi pengiktirafan kepakaran.

"Di samping peningkatan mutu perkhidmatan, ijazah kepakaran yang dianugerahkan juga mampu memperkasakan lagi status dan kredibiliti seseorang pengamal perubatan," titahnya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, dalam majlis sama Tuanku Muhriz menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Felo Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (Honorary Fellowship of Academy of Family Physicians of Malaysia).

Baginda bertitah, para pengamal perubatan juga perlu memainkan peranan mereka dengan membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan memastikan mutu perkhidmatan kesihatan Malaysia setanding dengan negara lain.

"Mereka harus mengikuti perkembangan teknologi terkini dan mengetahui hasil penyelidikan perubatan baharu agar perkhidmatan yang diberikan dapat disesuaikan bagi memenuhi keperluan semasa," katanya.