Kelantan lebar status pendahulu liga

Antara aksi menarik perlawanan antara Kelantan menentang UiTM di Stadium UiTM, Shah Alam. - Foto TRW Kelantan FC
Antara aksi menarik perlawanan antara Kelantan menentang UiTM di Stadium UiTM, Shah Alam. - Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

PENDAHULU liga, Kelantan FC terus mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Premier musim apabila mengalahkan UiTM FC 3-0 di Stadium UiTM Shah Alam, Shah Alam pada Jumaat.

Babak kemenangan anak didik Rezal Zambery Yahya itu bermula pada minit ke-28 apabila sepakan percuma Kapten Kelantan Nurshamil Abd Ghani meletakkan pasukan itu mendahului UiTM 1-0.

Muhammad Farhan Roslan kemudian menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-41 manakala Kervens Fils Belfort menambah lagi derita UiTM apabila gol kemenangan pasukan itu hadir pada minit ke-72 bagi menafikan peluang kelab universiti itu memperoleh kemenangan pertama musim ini.

UiTM terpaksa menghabiskan baki perlawanan dengan 10 orang pemain setelah Mohamad Amir Adha Mohd Latif dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Kelantan.

Sementara itu di Terengganu, Terengganu FC ll (TFC ll) memulakan saingan Liga Premier dengan langkah kanan selepas menewaskan Perak FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turun dengan misi memburu kemenangan pertama musim ini, TFC ll yang melakukan asakan ke kubu lawan berjaya mencetak gol pertama melalui pemain import kelahiran Namibia, Petrus Shitembi pada minit ke-22.

Pada babak kedua, TFC ll yang diperkuat tiga jentera import tidak menunggu lama untuk menambah jaringan.

Gol kedua disumbangkan oleh Jordan Mintah pada minit ke-57 manakala gol ketiga pula diperoleh berselang tujuh minit menerusi pemain tengah, Muhammad Syafiq Ismail.

Artikel Berkaitan:

Keputusan akhir tersebut meletakkan TFC II kini berada di tangga kedua liga dengan tiga mata di belakang Kelantan yang mengutip sembilan mata.