Nilai semula isu PSM-MSC

IMBAS KEMBALI...Regu negara ketika berdepan Indonesia dalam acara regu Sukan Asia 2018 di Palembang. Foto: AFP (Gambar kecil: Mohd Yusoff)
IMBAS KEMBALI...Regu negara ketika berdepan Indonesia dalam acara regu Sukan Asia 2018 di Palembang. Foto: AFP (Gambar kecil: Mohd Yusoff)
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diminta menilai semula pendirian kementerian tersebut dalam isu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM)-Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebelum ini.

Pengasas PSM, Tan Sri Mohd Yusoff Latiff melalui kenyataan pada Jumaat memohon pertimbangan Ahmad Faizal untuk menilai kesemua isu berbangkit dengan adil dan wajar.

“Ini penting supaya kita dapat bersama memastikan kecemerlangan dan kelangsungan sukan sepak takraw hingga ke peringkat yang lebih tinggi pada masa depan," katanya.

Mohd Yusoff yang sudah menerajui PSM lebih 40 tahun lalu juga bersedia membincangkan isu itu bersama Ahmad Faizal.

Untuk rekod, PSM diasaskan pada 1960 dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Sepakraga Persekutuan Tanah Melayu.

Mohd Yusoff yang juga bekas Setiausaha Agung PSM pertama sebelum ini mengesahkan telah menghantar surat kepada Ahmad Faizal bagi menyatakan kekesalan berikutan tindakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), meluluskan penubuhan MSC.

“Tindakan PPS dan KBS meluluskan MSC adalah tidak wajar kerana akan merosakkan arena sukan sepak takraw disebabkan oleh kewujudan dua entiti yang sama dengan matlamat sama seperti PSM.

“Saya berpendapat tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof meluluskan MSC dengan sokongan Datuk Seri Ahmad Faizal selaku Menteri Belia dan Sukan bagi menjadikan ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menjejaskan hasrat PSM bergabung semula dengan ASTAF,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mohd Yusoff, sekiranya PSM mempunyai masalah dengan ASTAF sepatutnya PPS dan KBS memainkan peranan lebih aktif bagi membantu menyelesaikan masalah dan bukannya cuba melagakan atau merosakkan pertubuhan sukan tersebut.

“Menteri terdahulu, Datuk Seri Reezal Merican sudah menyelesaikan isu PSM dan ASTAF di mana sebelum ini, PPS juga bersetuju menyelesaikan masalah yang ada dengan meminta PSM meminda beberapa peraturan serta melakukan Mesyuarat Agung Tahunan dan perkara itu dilaksanakan PSM.

“Saya percaya segala masalah seharusnya boleh diselesaikan dengan senang dan bukannya dengan menubuhkan MSC di mana pada pandangan saya, perkara ini boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan kesemua pihak,” katanya.