Pan-gon teruskan eksperimen

Kim Pan-gon - Foto FAM
Kim Pan-gon - Foto FAM
A
A
A

KETUA Jurulatih baharu skuad bola sepak negara, Kim Pan Gon mahu meneruskan uji kaji dengan anak-anak buahnya pada pertemuan dengan Singapura dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier-1, saingan Siri Tiga-Negara FAS di republik itu malam esok.

Biarpun pertemuan dengan The Lions itu adalah penting, Pan-gon berkata, beliau dan staf kejurulatihan mempunyai cabaran lebih penting untuk membentuk skuad yang mantap bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, Jun depan.

Justeru, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mahu menggunakan perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional untuk menilai keupayaan pemain selain daripada kemajuan pendekatan taktikal permainan pasukan yang diterapkan sejak ketibaan beliau bulan lepas.

"Perlawanan itu boleh menjadi derbi tetapi ia penting, amat penting kerana selaku seorang jurulatih setiap perlawanan penting tanpa keputusan yang baik kita tidak boleh bercakap mengenainya tetapi saya fikir yang lebih penting ialah membina pasukan ini, kami meletakkan sasaran untuk Kelayakan Piala Asia dan seterusnya mara ke Piala AFF.

Pan-gon mempunyai cabaran lebih penting untuk membentuk skuad Harimau Malaya yang mantap bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, Jun depan. - Foto FAM
Pan-gon mempunyai cabaran lebih penting untuk membentuk skuad Harimau Malaya yang mantap bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, Jun depan. - Foto FAM

"Kami perlu membina satu asas yang amat kukuh, saya perlu lebih mengetahui mengenai sifat dan keupayaan pemain dalam keadaan tertentu. Saya tidak terlalu fokus untuk memenangi perlawanan esok tetapi untuk memaksimumkannya sebagai perlawanan terakhir untuk melihat bagaimana reaksi pemain terhadap taktik kami dalam perlawanan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata, penting bagi skuad negara memenangi perlawanan esok dengan menamatkan siri perlawanan persahabatan itu dengan cemerlang selepas menguasai dan memenangi perlawanan menentang Filipina 2-0 di venue yang sama Rabu lepas.

Pan-gon mengesahkan ada pemain mengalami kecederaan ringan dan tiada yang serius setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali Singapura, Nazri Nasir menjangkakan skuad bimbingannya akan menghadapi tentangan sengit daripada Malaysia.

"Setiap kali bertemu Malaysia akan ada persaingan dan juga sesuatu yang istimewa. Kami melihat bagaimana Malaysia beraksi (menentang Filipina) mereka sangat teruja di bawah jurulatih baharu, mereka beraksi dengan baik dan saya jangkakan ia bakal menjadi perlawanan yang sukar. Sudah tentu kami mempunyai strategi esok dan pasukan terbaik akan menang,” katanya.

Skuad bimbingan Pan-gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura, yang merupakan sebahagian daripada persiapan mereka untuk Kelayakan Piala Asia 2023 dengan bertemu sebuah kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. - Bernama