'Mereka tak suka tengok muka saya' - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa beberapa Ahli Parlimen kerajaan bertindak keluar Dewan Rakyat ketika pengundian usul Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana ‘tidak suka’ melihat wajahnya.

Ahli Parlimen Larut daripada Bersatu itu dalam masa yang sama menzahirkan rasa terkilan atas tindakan tersebut yang menyebabkan usul berkenaan gagal mendapat kelulusan Dewan Rakyat pada Rabu.

“Saya rasa agak terkilan dengan beberapa Ahli Parlimen terutamanya daripada pihak kerajaan sendiri yang saya difahamkan ada dalam dewan ketika undi belah bahagi, (tetapi) ketika nak undi, dia keluar.

“Sudah tentu saya tidak gembira (dengan tindakan keluar Dewan Rakyat). Sebahagian daripada mereka, mereka sudah berada di dewan tetapi keluar bila undi belah bagi. Itu tidak adil, saya boleh namakan siapa.

“(Alasan keluar) Sebab mereka tak suka muka saya,” katanya kepada pemberita selepas selepas menghadiri Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas alasan wakil rakyat daripada blok kerajaan yang bertindak keluar Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata tindakan yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen blok kerajaan itu mencerminkan pemikiran individu yang tidak memikirkan tanggungjawab kepada negara.

"Saya dah jelaskan, isu Sosma ini adalah isu keselamatan negara. Bila ditolak oleh pembangkang, maknanya walaupun mereka mengaku sayangkan negara, dia tak sedar bahawa Sosma dilakukan selepas kita tarik semula ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Artikel Berkaitan:

"Bila kita hapuskan ISA, ketika itu, ada beberapa peristiwa lepas ISA ditarik balik, (dan) banyak berlaku jenayah terancang.

"Maka sebab itu, kita fikir instrumen yang mustahak kena ada. Akhirnya kita bertolak ansur dengan beri 28 hari sahaja, ia begitu bertolak ansur untuk semua pihak. Apabila akta telah diluluskan, dan telah disambung pada 2017, (tetapi) akhirnya tamat pada Julai tahun ini.

Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan. -Awani