Peningkatan kes kemalangan di Pahang membimbangkan

Ramli menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamarul Bieza Mohamed Kassim pada Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 Peringkat Kontinjen Pahang pada Jumaat.
Ramli menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamarul Bieza Mohamed Kassim pada Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 Peringkat Kontinjen Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kes kemalangan di Pahang menunjukkan peningkatan apabila 4,182 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga 22 Mac tahun ini berbanding 3,390 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkembangan itu agak membimbangkan lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, kes kemalangan yang dilaporkan disebabkan atas pelbagai faktor termasuk memandu di bawah pengaruh dadah.

"Kita dapati ada pemandu lori, bas dan kenderaan persendirian yang ditahan kerana memandu secara berbahaya didapati positif dadah.

"Perkembangan ini agak membimbangkan kerana memandu di bawah pengaruh dadah amat berisiko dan boleh menjurus kepada berlakunya kemalangan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 Peringkat Kontinjen Pahang di sini pada Jumaat.

Ramli berkata, beliau juga bimbang dengan 'hobi' merempit dalam kalangan penunggang motosikal kerana perbuatan itu cukup bahaya bukan hanya kepada mereka sendiri malah kepada pengguna jalan yang lain.

Sementara itu katanya, kes melibatkan jenayah narkotik juga perlu diberi perhatian terutama kewujudan sarang penagihan di kawasan luar bandar dan kawasan Felda.

Menurutnya, sebagai sebuah negeri yang luas dengan 112 kawasan Felda, usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini perlu melibatkan peranan bersama termasuk ahli komuniti, ketua masyarakat dan pemegang taruh.

Artikel Berkaitan:

"Di samping operasi dan serbuan berterusan ke atas sarang penagihan, elemen pencegahan melalui kempen kesedaran juga akan terus digerakkan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tempoh kajian suku tahun pertama ini, sebanyak 2,633 kes dadah direkodkan berbanding 2,117 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Pada Februari lalu, JSJN Kontinjen Pahang menggerakkan Ops Tapis Khas serentak seluruh daerah di negeri ini dengan 246 serbuan telah dibuat termasuk menggempur 28 sarang penagihan dadah.

"Hasilnya, 447 tangkapan dilakukan, termasuk 22 pengedar, 55 penagih berulang dan 14 individu dikehendaki," katanya.

Pada masa sama katanya, kes-kes penipuan di negeri ini terus berlaku di mana masih ada individu menjadi mangsa walaupun peringatan dengan pelbagai cara telah dibuat sebelum ini.

Menurutnya, keadaan itu membuktikan masih ada yang kurang kesedaran dan berisiko untuk ditipu.

"Sebanyak 447 kertas siasatan telah dibuka bagi kes jenayah komersial di negeri ini untuk tempoh Januari sehingga 22 Mac tahun ini berbanding 291 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Kes tipu melibatkan penipuan Macau Scam, Love Scam, pelaburan dan pinjaman tidak wujud menjadi penyumbang utama dengan 424 kertas siasatan dibuka tahun ini," katanya.