Lelaki ditahan bantu siasatan video tular aksi bahaya kanak-kanak

Mior Faridalathrash. (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada 24 Mac 2022.)
Mior Faridalathrash. (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada 24 Mac 2022.)
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang lelaki pada Khamis bagi membantu siasatan berkaitan video yang memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala ketika kereta sedang bergerak.

Suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai ejen insuran berkenaan ditahan polis di rumahnya di Sunway City, Tambun kira-kira jam 9.30 malam susulan video itu tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tiga anak suspek yang terlibat dalam video tersebut akan dipanggil bersama untuk melengkapkan siasatan.

"Siasatan masih diteruskan dan tindakan tegas akan diambil berikutan perbuatan tersebut dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dengan membenarkan anak-anak ini keluarkan kepala ketika kenderaan bergerak laju.

"Kita akan selesaikan siasatan sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dengan cadangan untuk dituduh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Negeri yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta di sini pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan aksi berbahaya tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah bertindak mengeluarkan kepala ketika sebuah kereta jenis Mercedes-Benz sedang bergerak yang berjaya dirakam pengguna jalan raya sebelum video mengenainya tular di laman sosial.

Polis membuat siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Artikel Berkaitan: