'Tanggungjawab jaga ketenteraman awam bukan hanya tugas polis'

Batalion 3 Senoi Praaq mempersembahkan tarian perang pada Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Perak di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Hulu Kinta pada Jumaat.
Batalion 3 Senoi Praaq mempersembahkan tarian perang pada Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Perak di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Hulu Kinta pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Masyarakat tidak boleh membiarkan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam diserahkan sepenuhnya kepada pasukan polis.

Sebaliknya, anggota masyarakat hendaklah tampil ke hadapan membantu tugas-tugas polis untuk membanteras jenayah dengan menjadi mata dan telinga menyampaikan maklumat-maklumat berkaitan perkara-perkara mencurigakan.

Perkara itu ditegaskan menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada: Menggalas Tanggungjawab Keamanan Bersama yang dibacakan di seluruh masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak bersempena Sambutan Hari Polis ke-215 pada hari ini.

Teks khutbah tersebut turut mendedahkan nisbah bagi seorang anggota polis ditugaskan untuk menjaga seramai 256 orang penduduk berdasarkan bilangan penduduk di negeri ini iaitu seramai 2.51 juta orang berbanding 9,820 anggota polis pelbagai pangkat dan jawatan yang ditempatkan di Kontinjen Polis Perak.

Menurutnya, sepanjang tahun 2021, Polis Perak menerima 8,647 laporan dengan purata 24 laporan setiap hari malah setiap laporan perlu diberikan perhatian untuk disediakan kertas siasatan, dilakukan siasatan dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk dilakukan pendakwaan.

Dalam pada itu, tugas polis bukan sekadar mencegah jenayah tetapi turut diperlukan untuk mengawal ketenteraman awam setiap kali perayaan, pesta, perhimpunan, bencana dan kemalangan.

Jelasnya, mereka juga perlu mendapatkan pelbagai maklumat dan melakukan pelbagai risikan mengenai kegiatan-kegiatan subversif oleh musuh-musuh negara atau mereka yang mahu melakukan kekacauan.

"Pada waktu berlaku kesesakan lalu lintas, anggota polis dibakar terik matahari dan dimandi kesejukan hujan bertugas di jalan-jalan raya. Ketika rakyat menikmati juadah berbuka puasa, berpakaian indah menyambut hari-hari perayaan bersama keluarga, anggota polis berbuka puasa dan menyambut hari-hari perayaan dalam kereta ronda, dalam bot peronda yang dilambung ombak, bertugas di pinggir bangunan, di pinggir pagar dan di pinggir jalan, juga di pinggir-pinggir bukit, belukar dan hutan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika menguruskan bencana, anggota polis tidak mengenal tidur, tidak mengenal lapar dan dahaga, ada yang tidak berpeluang untuk mandi dan bertukar pakaian sehingga berhari-hari. Demikian tugas berat para anggota polis kepada masyarakat dan negara. Antara mereka, ada yang cedera, dan ada yang kehilangan nyawa semasa melaksanakan tugas," jelas teks khutbah tersebut.

Sementara itu, mimbar menjelaskan masyarakat yang berjaya dijalinkan hubungan secara erat dengan polis akan dapat membantu usaha-usaha membasmi jenayah secara lebih berkesan.

Katanya, tindakan itu sekaligus membolehkan rakyat hidup dalam suasana lebih tenteram dan keselamatan negara akan lebih terjamin.