KPDNHEP gempur stesen minyak seleweng diesel bersubsidi

KPDNHEP Putrajaya berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Puchong, Selangor pada Selasa lalu.
KPDNHEP Putrajaya berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Puchong, Selangor pada Selasa lalu.
A
A
A

PUCHONG - Kegiatan sebuah stesen minyak di sini yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Selasa lalu.

Serbuan sepasukan pegawai dan anggota KPDNHEP Putrajaya kira-kira jam 10 malam itu berjaya mengesan dua buah lori sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di pam berasingan stesen minyak berkenaan.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, pemeriksaan mendapati dua buah lori muatan 24 tan dan lima tan itu masing-masing memuatkan enam buah tong drum yang mengandungi diesel.

Katanya, KPDNHEP kemudian telah menahan tiga lelaki terdiri daripada dua pemandu dan seorang kelindan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.

"Anggota serbuan juga telah mengambil tindakan terhadap pengusaha stesen minyak terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Sejumlah 2,220 liter minyak diesel, dua buah lori, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV), invois dan resit jualan, belian berserta dokumen-dokumen perniagaan telah disita untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azman berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM169,644.

Tambah Azman, pihaknya juga akan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan juga dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," ujarnya.

Tegasnya, KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua pengusaha stesen minyak dan peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak diesel ini bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan dan aktiviti haram ini.