Kerajaan Selangor sedia hampir 12,000 petak bazar Ramadan tahun ini

Sze Han
Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 11,967 petak bazar Ramadan ditawarkan oleh kerajaan Selangor melibatkan 238 lokasi di bawah 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu pada tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, setakat ini, sebanyak 10,783 permohonan diterima dan 9,720 daripadanya telah diluluskan.

"Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan bilangan permohonan paling tinggi iaitu 2,219 permohonan diikuti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 1,790 permohonan dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan 1,031 permohonan.

"Lima PBT iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), MPKj dan MPKL

telah selesai memproses semua permohonan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurut Sze Han, terdapat tiga PBT menerima permohonan melebihi tawaran tapak seperti di MPKj iaitu 1,790 permohonan diterima berbanding 1,780 tapak ditawarkan manakala di Selayang sebanyak 2,219 permohonan diterima berbanding 1,782 tapak ditawarkan.

Tambahnya, di Sepang pula, sebanyak 622 permohonan diterima pihak MPSepang berbanding 541 petak yang dapat disediakan.

Dalam pada itu, kerajaan Selangor menyarankan peniaga tidak berjaya memperoleh petak bazar Ramadan di kawasan-kawasan dipohon untuk segera memohon di lokasi bawah PBT lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara PBT masih menawarkan sejumlah besar petak berniaga ialah di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) termasuk di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Katanya, kerajaan negeri sangat menggalakkan aktiviti perniagaan di bazar Ramadan berjalan seiring dengan hasrat kerajaan menjana dan memulihkan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, bagi menjaga kelestarian alam sekitar dan mengurangkan risiko pembuangan minyak masak terpakai ke tempat tidak sepatutnya, PBT dengan kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan akan menempatkan tong minyak masak terpakai di beberapa lokasi bazar Ramadan.