Sanggup dayung bot sejauh 2,000km demi bertemu isteri

Hoang Hung hanya membawa bekalan sedikit air minuman dan mi segera tanpa sebarang alat bantuan sistem navigasi ketika ditemui pada Rabu. - Foto Agensi
Hoang Hung hanya membawa bekalan sedikit air minuman dan mi segera tanpa sebarang alat bantuan sistem navigasi ketika ditemui pada Rabu. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Demi cinta kepada isterinya, seorang lelaki warga Vietnam sanggup mendayung sejauh 2,000 kilometer dari Thailand ke India semata-mata untuk bertemu cinta hatinya yang ditahan pihak berkuasa.

Pegawai kanan tentera laut memaklumkan Ho Hoang Hung nekad memulakan perjalanan mencabar itu dari Pulau Phuket menggunakan bot getah dengan hanya membawa bekalan sedikit air minuman dan mi segera tanpa sebarang alat bantuan sistem navigasi.

"Hoang Hung merancang untuk merentasi Teluk Bengal ketika musim siklon hampir tiba.

"Lelaki berusia 37 tahun itu ditemui sebuah bot nelayan berhampiran Pulau Similan yang terletak kira-kira 80 kilometer dari tanah besar Thailand yang kemudiannya bertindak menghubungi unit keselamatan maritim tentera laut," ujar Kapten Pichet Songtan di Pusat Perintah Penguatkuasaan Maritim.

Ketika diselamatkan, Hoang Hung memberitahu dia mahu bertemu isterinya yang bekerja di Mumbai selepas mereka hidup berjauhan selama dua tahun kerana sekatan Covid-19.

"Pada mulanya, dia terbang ke Bangkok, namun baru menyedari tidak dapat melakukan perjalanan ke India kerana tidak memiliki visa.

"Hoang Hung kemudiannya menaiki bas ke Phuket dan mendapatkan bot getah tersebut," jelasnya lagi sambil menambah mereka telah menghubungi Kedutaan Vietnam dan Kedutaan India, namun belum mendapat sebarang maklum balas.

Difahamkan, dia memulakan perjalanan pada 5 Mac lalu dan berdepan cabaran angin kencang yang menyukarkan perjalanannya selama dua minggu sebelum akhirnya ditemui.

Artikel Berkaitan:

Hoang Hung akan dihantar semula ke Phuket untuk siasatan lanjut. - AFP